Fenomena La Nina kembali 'sejukkan' dunia, El Nino bakal berakhir
GENEVA - Kemunculan semula fenomena cuaca La Nina pada tahun ini akan dapat membantu untuk menurunkan suhu global yang dicengkam cuaca ekstrem selama beberapa bulan.
Pengumuman itu dibuat Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) pada Isnin menerusi laporan kemaskini terbaharu.
“Dunia akan kembali menyejuk dalam tempoh beberapa bulan akan datang kerana corak cuaca El Nino yang menyumbang lonjakan luar biasa suhu global dan cuaca panas melampau sejak pertengahan 2023 bakal menunjukkan tanda akan berakhir,” jelas laporan tersebut.
WMO bagaimanapun memberi amaran suhu global akan terus meningkat untuk tempoh jangka masa panjang akibat aktiviti tidak terkawal manusia yang memburukkan lagi impak perubahan iklim.
Di kebanyakan lokasi terutamanya di tropika, La Nina memberikan kesan bertentangan dengan El Nino.
“Terdapat kemungkinan kira-kira 60 peratus, La Nina akan berlaku pada Julai hingga September dan 70 peratus lagi meramalkan tempoh kemunculannya pada Ogos-September depan,” ujar WMO lagi sambil menambah potensi untuk El Nino kembali juga adalah sangat rendah.
Sejak Jun 2023, El Nino telah menyebabkan suhu dunia terus meningkat dan tahun lalu direkodkan sebagai paling panas setelah fenomena itu mencapai kemuncak pada Disember. - Agensi
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!