Remaja lelaki maut terbabit kes langgar lari

Seorang pelajar lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya disyaki dilanggar lari oleh sebuah kenderaan lain dalam kejadian di Batu 9, Jalan Labu di Nilai pada Isnin. Foto PDRM
Seorang pelajar lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya disyaki dilanggar lari oleh sebuah kenderaan lain dalam kejadian di Batu 9, Jalan Labu di Nilai pada Isnin. Foto PDRM
A
A
A

NILAI - Seorang pelajar lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya disyaki dilanggar lari oleh sebuah kenderaan lain dalam kejadian di Batu 9, Jalan Labu di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, kejadian jam 6.45 pagi itu membabitkan sebuah motosikal jenis Honda Wave yang ditunggang remaja berumur 14 tahun.

"Hasil siasatan awal mendapati, mangsa dikatakan dalam perjalanan dari arah Kampung Tebing Tinggi, Labu menghala ke arah Nilai.

"Apabila tiba di lokasi kemalangan, dipercayai motosikalnya telah dilanggar oleh sebuah kenderaan lain dari arah yang sama," katanya pada Isnin.

Keadaan motosikal mangsa. Foto PDRM
Keadaan motosikal mangsa. Foto PDRM

Ujarnya, akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal yang merupakan seorang pelajar sekolah menengah mengalami kecederaan parah di kepala dan telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh paramedik Klinik Kesihatan Nilai.

"Kes telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Siasatan lanjut masih diteruskan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai, Inspektor Muhammad Farid Danial Azli di talian 012-9122198," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!