Jadilah keyboard warrior yang beretika
TANGGAL 29 Mei lalu merupakan sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2024. Tarikh itu diambil sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939.
Pada tahun ini, Hawana disambut dengan tema ‘Etika Teras Kewartawanan Mapan’.
Siapa media? Di majlis-majlis penting, pasti dapat melihat kelibat beberapa individu dengan lanyard tertulis perkataan ‘Media’, malah ada yang mengusung kamera besar ke hulu hilir. Pendek kata, di mana ada tetamu terhormat di situ ada media.
Pengamal media bertugas tidak kira masa. Jika ada bencana, di situ juga tempat mereka berkampung. Makan minum ditolak ke tepi asalkan berita yang dilaporkan segera disiarkan di platform agensi masing-masing.
Tanpa kehadiran petugas media, laporan terkini tentang sesuatu isu itu tidak dapat disalurkan kepada masyarakat dengan tepat.
Ketika majlis perasmian pameran Hawana 2024 di Kuching, Sarawak baru-baru ini, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, wartawan sudah berada di barisan hadapan sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan, dengan menggunakan pena menentang penjajahan serta menyemai semangat perjuangan.
Namun, dalam era globalisasi ini, tekanan kerja para media semakin bertambah apabila perlu bersaing dengan kehadiran keyboard warrior yang gemar menimbulkan isu sensitif dan menyebarkan berita palsu.
Tindakan mereka ini bukan sahaja membebankan para wartawan, malah turut mengganggu siasatan agensi terlibat sekiranya ia melibatkan kes jenayah.
Setiap kali golongan ini menyebarkan berita palsu, wartawan sebagai media arus perdana perlu memperbetulkannya supaya masyarakat tidak salah faham.
Masyarakat perlu sedar bahawa media arus perdana adalah platform sah yang boleh dijadikan rujukan oleh masyarakat untuk mendapatkan maklumat. Media arus perdana mempunyai etika tersendiri yang harus dipatuhi termasuk undang-undang yang telah digariskan syarikat.
Penulis sendiri acap kali menghadapi situasi ini. Misalnya, ada keyboard warrior yang sengaja menyiarkan kembali gambar feri terbakar di Langkawi sehingga menimbulkan panik orang ramai di sosial media.
Mungkin hantaran itu hanya suka-suka untuk meraih tanda suka pengguna media sosial, tapi ia sedikit sebanyak menyusahkan media apabila terpaksa mendapatkan kepastian daripada pihak berkaitan mengenai insiden terbabit.
Trend berita palsu ini lebih dahsyat ketika negara kita dilanda Covid-19 pada tahun 2020. Ketika itu, masyarakat hidup dalam ketakutan dan kesempatan itu diambil oleh keyboard warrior dengan menyebarkan pelbagai dakyah tidak masuk akal tentang Covid-19.
Mereka juga cuba menimbulkan pelbagai isu yang tidak matang sehinggakan masyarakat ketika itu sudah hilang kepercayaan kepada media arus perdana.
Namun, para petugas medialah antara barisan hadapan yang sedaya upaya menangkis segala berita palsu tersebut untuk mengelakkan rakyat hidup dalam ketakutan dan kerisauan.
Segala info yang diumumkan kerajaan perlu dikemas kini setiap masa agar rakyat dapat maklumat yang tepat dan tidak terpengaruh dengan berita-berita palsu.
Selain berita palsu, ada juga keyboard warrior yang sengaja mengapi-apikan isu perkauman dan bangsa.
Contohnya, pada Mac lalu, seorang juruteknik aplikasi sosial berusia 34 tahun dikenakan hukuman penjara enam bulan dan denda RM12,000 selepas mengaku bersalah membuat hantaran bersifat jelik berkaitan kalimah ALAH.
Malah, ketika dibicarakan di mahkamah, beliau mengaku bahawa tindakannya meninggalkan komen jelik itu kerana mahu menjadi keyboard warrior.
Sebenarnya, tidak salah menjadi keyboard warrior tetapi biarlah beretika, maklumat disampaikan adalah benar dan paling penting tidak menyentuh sensitiviti masyarakat.
Jangan pula hanya kerana jari jemari seronok menaip sesuatu perkara yang bukan-bukan di media sosial, akhirnya terpaksa meringkuk dalam penjara.
* Roshila Murni Rosli ialah wartawan Sinar Harian Biro Kedah
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!