Tarikh umum SPM pun nak kecoh!

MERAK JALANAN

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

MERAK Jalanan terpanggil untuk bercakap mengenai sikap segelintir masyarakat suka menimbulkan polemik.

Bulan lalu, Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan bahawa tarikh keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 dikeluarkan pada 27 Mei 2024.

Tarikh itu jatuh pada minggu cuti persekolahan penggal pertama.

Baru sahaja KPM mengumumkan, timbul pula bantahan daripada beberapa aktivis dan orang ramai mengenai tarikh tersebut.

Kata mereka, minggu cuti sekolah takkan KPM hendak suruh cikgu-cikgu buat kerja.

Ada pula ibu bapa yang memberi respons bahawa mereka sudah membeli tiket kapal terbang ke Korea. Siapa mahu ganti?

Maka, terpaksalah warga media melaksanakan tanggungjawab mencari menteri atau pegawai pejabat pendidikan di negeri masing-masing untuk merungkai isu tersebut.

Jawab Menteri KPM kepada kumpulan pemberita, ibu bapa dan guru tidak perlu ke sekolah. Teruskanlah percutian mereka itu. Ini kerana keputusan peperiksaan utama tersebut boleh didapati menerusi sistem online.

Artikel Berkaitan:

Merak Jalanan percaya KPM sejak dari awal lagi sudah bersiap sedia dengan asakan persoalan susulan pengumuman tarikh SPM 2023 itu.

Persoalan mengenai tarikh itu sahaja berlarutan lebih 48 jam dan media sosial menjadi medan utama keyboard warrior menghentam KPM.

Itu belum lagi luahan para lepasan SPM 2023 yang kecewa kerana tidak dapat hadir ke sekolah pada tarikh tersebut.

Tapi akhirnya keputusan peperiksaan tetap dikeluarkan pada tarikh itu. Tidak pula timbul suara-suara sumbang seperti sebelumnya.

Yang berjaya tetap diraikan dan mereka mendapat kurang A masih dianggap berjaya oleh keluarga dan masyarakat.

Begitulah corak masyarakat kita. Sekecil-kecil perkara pun hendak dipersoalkan. Serabut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!