Sedentari undang penyakit kronik

Amalan gaya hidup sedentari atau tidak aktif adalah antara punca peningkatan jumlah rakyat Malaysia yang mempunyai berat badan berlebihan serta obesiti. - Gambar hiasan, gambar kecil: Nurul Shazini
Amalan gaya hidup sedentari atau tidak aktif adalah antara punca peningkatan jumlah rakyat Malaysia yang mempunyai berat badan berlebihan serta obesiti. - Gambar hiasan, gambar kecil: Nurul Shazini
A
A
A

SHAH ALAM - Amalan gaya hidup sedentari atau tidak aktif adalah antara punca peningkatan jumlah rakyat Malaysia yang mempunyai berat badan berlebihan serta obesiti.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan Universiti Putra Malaysia, Dr Nurul Shazini Ramli berkata, obesiti berupaya meningkatkan risiko menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti penyakit kardiovaskular, kanser, penyakit pernafasan kronik dan diabetes.

Menurutnya, setiap individu perlu mengetahui keperluan kalori mengikut badan masing-masing selain melakukan senaman atau bergerak aktif.

“Kalau tengok statistik tahun ini lebih 80 peratus rakyat Malaysia tidak mengamalkan gaya hidup sihat dengan melakukan aktiviti sedentari. Mereka perlu amalkan konsep ‘tenaga masuk’ dan ‘tenaga keluar’ setiap hari.

“Kalau kita nak kekalkan berat badan, pemakanan dan senaman perlu seimbang tetapi jika mahu turunkan, mereka kena kurangkan jumlah kalori dan bergerak aktif,” katanya kepada Sinar Harian.

No Image Caption

Nurul Shazini berkata, faktor lain yang menyumbang kepada berat badan berlebihan adalah disebabkan umur, genetik, perubatan dan jantina.

Tambah beliau, langkah pencegahan perlu dimulakan oleh individu itu sendiri menerusi senaman dan amalan pemakanan seimbang ‘suku-suku separuh’ iaitu suku pinggan untuk nasi, suku untuk lauk, setengah lagi untuk sayur dan buah-buahan.

Artikel Berkaitan:

“Amalkan pemakanan sihat dan lakukan olahraga dalam 30 hingga 60 minit sebanyak lima kali seminggu sudah memadai. Keperluan kalori badan juga perlu diambil kira supaya tidak melebihi had sepatutnya.

“Sekarang ini bukan sebab makanan tidak sihat tetapi kita sendiri kena tahu kaedah untuk elak daripada mendapat kesan amalan makan secara berlebihan.

“Kena berhati-hati sebab apa yang kita makan hari ini kesannya bukan esok tetapi lima hingga 10 tahun akan datang,” ujar beliau.

Nurul Shazini memaklumkan, faktor persekitaran turut memainkan peranan untuk membantu mengurangkan masalah tersebut iaitu sokongan daripada orang sekeliling serta kemudahan.

Menurut beliau, paling utama adalah ibu bapa yang harus menjadi suri teladan dan mendidik anak-anak untuk mengamalkan gaya hidup sihat sejak mereka kecil.

“Satu perkara yang menjadi kebimbangan kini adalah kanak-kanak obesiti, sewaktu kecil memang kita lihat comel tetapi ibu bapa perlu sedar bahawa kesan sampingannya sangat besar.

"Begitu juga dengan pengambilan sayur dan buah-buahan dalam pemakanan harian, sangat penting.

“Dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023 juga menunjukkan 95.1 peratus daripada rakyat Malaysia tidak mengambil makanan serat itu mengikut saranan lima hidangan setiap hari dan keadaan tersebut sangat membimbangkan,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!