Atasi masalah obesiti dari sekolah rendah
SHAH ALAM- Kerajaan perlu melihat kepada dasar dalam menangani masalah obesiti di peringkat akar umbi berbanding tertumpu kepada kempen semata-mata.
Pengerusi Persatuan Pencegahan Obesiti Kanak-Kanak dan Dewasa Malaysia, Kevin Zahri berkata, apa yang berlaku di negara ini ialah pembelajaran di sekolah lebih tertumpu kepada akademik dan ujian semata-mata berbanding kepentingan kepada penjagaan kesihatan.
Menurutnya, walaupun pendidikan jasmani dan kelab-kelab sukan ada ditawarkan di sekolah, ia kurang diberikan keutamaan.
“Puncanya bagi saya bermula dari sekolah itu sendiri. Kalau ada kelab sukan sekalipun, ia seakan tidak hidup. Contohnya penekanan terhadap satu murid untuk satu sukan.
“Nampak mudah, tapi realitinya ialah pelajar mendaftar dengan kelab tapi tak ada tunjuk ajar, panduan dan kepimpinan yang sepatutnya dan ia menjadi semata-mata sebagai syarat.
“Jadi, pelajar itu membesar dengan fikiran bahawa kesihatan dan pendidikan jasmani ini tidak penting sebab tidak diberikan keutamaan. Bila membesar dari sekolah rendah, menengah dan masuk alam dewasa, dia sudah lalui tabiat yang kurang aktif,” katanya kepada Sinar Harian.
Kevin yang juga selebriti kesihatan dan kecergasan berkata, laporan bahawa kira-kira 11 juta rakyat Malaysia mengalami masalah berat berlebihan bukanlah sesuatu yang baharu.
“Namun, saya lihat kerajaan lebih suka kepada rancangan yang berbentuk ada pelancaran, gimik dan kempen untuk melihat orang ramai melakukan sesuatu.
“Kita kena tengok punca sebenarnya. Apabila anak-anak ini masuk alam dewasa, mereka akan jadi kurang aktif dan sukar untuk membuang tabiat itu kerana sepanjang kehidupannya, dia tak pentingkan kesihatan dan pendidikan jasmani,” ujar beliau.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!