Majikan disaran ambil berat waktu rehat pekerja

Laporan muka depan Sinar Harian pada Selasa. Gambar kecil dari kiri: Muhammad Syafiq, Muhammad Daniel, Viviera Veicia, Emreanjeet Singh
Laporan muka depan Sinar Harian pada Selasa. Gambar kecil dari kiri: Muhammad Syafiq, Muhammad Daniel, Viviera Veicia, Emreanjeet Singh
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat Malaysia yang sudah terbiasa sibuk ketika bekerja sehingga terlupa untuk makan pada waktu sepatutnya adalah antara penyumbang masalah berat badan di negara ini.

Tinjauan Sinar Harian mendapati orang ramai mengakui faktor tersebut menyebabkan mereka makan pada lewat malam selepas selesai waktu bekerja.

Susulan itu, majikan dan pekerja digesa menggunakan waktu rehat dengan sebaiknya sama ada untuk makan atau berehat sekali gus membantu mengelakkan stres, yang juga satu lagi punca masalah berat badan.

Penolong setiausaha syarikat, Muhammad Syafiq Rojiei, 34, berkata, majikan disaran memastikan kakitangan makan dan berehat pada waktu yang sepatutnya.

“Perkara ini juga membantu kestabilan emosi dan kesihatan pekerja. Sekiranya kebajikan mereka dijaga, sudah pasti kualiti kerja bertambah baik,” katanya kepada Sinar Harian.

Jurujual siaran langsung, Viviera Veicia Nelson, 25, menyarankan pihak majikan menyediakan sistem penggera atau notifikasi yang dapat memberitahu waktu rehat kepada kakitangan yang terlalu fokus terhadap tugasan.

Katanya, ini kerana ada pekerja yang sanggup mengabaikan waktu makan sehingga menyebabkan menghidap penyakit lain seperti gastrik atau tekanan darah tinggi.

“Tidak salah majikan menggalakkan budaya kerja sihat dalam kalangan kakitangan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Pekerja swasta, Muhammad Daniel Zolkefly, 29, berkata, pihak berkuasa boleh melaksanakan kempen di platform media sosial bagi meningkatkan kesedaran tentang pentingnya makan secara teratur dan makan makanan berkhasiat.

Sementara itu, pekerja sumber manusia syarikat swasta, Emreanjeet Singh, 29, berkata, setiap pekerjaan mempunyai permintaan tugasan yang ketat menyebabkan kakitangan tidak mempunyai waktu rehat yang mencukupi.

Katanya lagi, ada segelintir pekerja kurang kesedaran mengenai kepentingan makan pada waktu yang teratur dan mengabaikannya demi menyelesaikan kerja masing-masing.“Pihak berkaitan boleh mengadakan kempen selain memanjangkan waktu rehat supaya pekerja dapat menikmati masa itu dengan sebaiknya,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!