Bakau hibrid 100 tahun diami Pulau Kukup

Pokok bakau hibrid jenis Rhizophora x Lamarkii berusia lebih 100 tahun berada di Pulau Kukup.
Pokok bakau hibrid jenis Rhizophora x Lamarkii berusia lebih 100 tahun berada di Pulau Kukup.
A
A
A

PONTIAN - Taman Negara Johor Pulau Kukup menjadi destinasi terbaik beriadah sambil menikmati keindahan alam semula jadi hutan paya bakau bersama keluarga atau rakan.

Pelantar pejalan kaki sepanjang kira-kira 1.6 kilometer dibina mengelilingi paya bakau memudahkan pengunjung mengenali dan mempelajari ekosistem pokok bakau selain menikmati keunikan flora dan fauna.

Terletak berhadapan Selat Melaka, Taman Negara Johor Pulau Kukup berkeluasan 647 hektar adalah hutan paya bakau tidak berpenghuni kedua terbesar di dunia.

Kelong atau sangkar ikan menjadi nadi ekonomi penduduk Kukup.
Kelong atau sangkar ikan menjadi nadi ekonomi penduduk Kukup.

Pulau Kukup diwartakan Konvensyen Ramsar sebagai Tanah Lembab Berkepentingan Antarabangsa atau Tapak Ramsar boleh dikunjungi dengan menaiki bot dari Jeti Kukup.

Taman Negara Johor ini dibuka semula pada 17 Mei selepas ditutup empat tahun lalu atas faktor keselamatan dan jeti tidak selamat.

Bagaimanapun, Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) mengehadkan kemasukan hanya 100 individu sehari ke Pulau Kukup bagi memelihara spesies hidupan flora dan fauna selain faktor keselamatan.

Tiket masuk boleh didapati di Pejabat Taman Negeri Johor di Kukup Laut serta dalam talian bagi memudahkan pelawat dari luar Johor.

Artikel Berkaitan:

Menurut Penolong Pengurus Taman Negara Johor Pulau Kukup, Mohd Izzuddin Asyraf Abd Manan berkata, pengunjung berpeluang melihat pokok bakau jenis hibrid berusia lebih 100 tahun iaitu Rhizophora x Lamarkii.

Taman Negara Johor menjadi ikon produk pelancongan di Pontian.
Taman Negara Johor menjadi ikon produk pelancongan di Pontian.

Katanya, pokok berkenaan merupakan satu-satunya spesies yang terdapat di pulau itu dan dijaga dengan baik kerana ia menjadi tarikan utama.

“Spesies bakau lain yang menjadi keutamaan ialah bakau minyak dan bakau kurap. Di Pulau Kukup juga terdapat pokok bakau hibrid yang tumbuh secara semula jadi.

“Sekurang-kurangnya 18 spesies pokok bakau ada di pulau ini, angka yang jauh lebih tinggi berbanding tapak bakau lain yang lebih besar, ” katanya.

Keindahan alam semula jadi hutan paya bakau menjadi tarikan utama di Pulau Kukup.
Keindahan alam semula jadi hutan paya bakau menjadi tarikan utama di Pulau Kukup.

Selain itu ujarnya, Pulau Kukup juga menjadi tempat persinggahan burung hijrah antara Oktober hingga Februari setiap tahun.

“Pulau Kukup dikelilingi hutan paya bakau menjadi lokasi burung air migrasi yang mengembara di sepanjang Laluan Asia Tenggara-Australasian (EAAF) seperti kedidi kaki merah (Tringa totanus) dan White-winged Tern (Chlidonias leucopterus).

“Pulau ini juga menjadi rumah kepada beberapa burung terancam dan jarang ditemui di seluruh dunia termasuk burung botak (Leptoptilos javanicus), Puchong kelabu (Mycteria cineria) dan Bangau China (Egretta eulophotes),"ujarnya.

Pelbagai spesies pokok bakau di Taman Negara Johor Pulau Kukup.
Pelbagai spesies pokok bakau di Taman Negara Johor Pulau Kukup.

Katanya, Taman Negara Johor Pulau Kukup turut dilengkapi platform pemerhati, jeti, perkhidmatan bot, kedai cenderahati, tandas dan surau.

“Perjalanan menaiki bot ke Pulau Kukup sekitar lima hingga 10 minit akan membawa pengunjung melihat perairan di pekan Kukup dipenuhi dengan kelong atau sangkar ikan,” katanya.

Pulau Kukup adalah hutan paya bakau tidak berpenghuni kedua terbesar di dunia.
Pulau Kukup adalah hutan paya bakau tidak berpenghuni kedua terbesar di dunia.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!