Jabalia seperti sudah lenyap dari peta

Kawasan kejiranan itu pernah didiami kira-kira 100,000 penduduk Palestin sebelum perang meletus.
Kawasan kejiranan itu pernah didiami kira-kira 100,000 penduduk Palestin sebelum perang meletus.
A
A
A

JABALIA - Mohammed al-Najjar, 33, terkejut dan seperti orang hilang arah apabila dia kembali semula ke kem pelarian Jabalia yang kini musnah teruk.

“Kesemua rumah sudah binasa akibat ofensif Israel. Saya sendiri sesat kerana tidak tahu di mana rumah saya di tengah-tengah kemusnahan besar tersebut,” katanya yang pulang ke utara Genting Gaza setelah rejim Zionis menamatkan kempen pengeboman berskala besar selama tiga minggu yang kononnya bertujuan untuk menghapuskan Hamas.

Najjar berkata, dia tergamam melihat tahap kemusnahan dahsyat di kawasan penempatan tersebut yang pernah didiami kira-kira 100,000 penduduk Palestin sebelum perang meletus.

Beberapa wanita Palestin yang kembali semula ke utara Gaza terkejut melihat kesan kemusnahan di kem pelarian Jabalia.
Beberapa wanita Palestin yang kembali semula ke utara Gaza terkejut melihat kesan kemusnahan di kem pelarian Jabalia.

Sejak beberapa hari lalu, sejumlah penduduk Palestin dilihat pulang ke Jabalia dan cuba mencari rumah masing-masing serta cuba mendapatkan barangan yang masih lagi boleh digunakan.

Di kiri dan kanan kawasan itu hanya dipenuhi timbunan sisa konkrit dan pelbagai jenis perabot yang musnah dan tiada apa lagi yang tinggal buat mereka.

Kebanyakan keluarga nekad kembali semula ke Jabalia meskipun tiada jaminan kawasan itu selamat.

Artikel Berkaitan:

Sebuah keluarga mendapatkan barangan yang masih lagi boleh digunakan di sekolah kendalian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang turut menjadi sasaran bedilan.
Sebuah keluarga mendapatkan barangan yang masih lagi boleh digunakan di sekolah kendalian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang turut menjadi sasaran bedilan.

“Kami tiada lagi tempat mahu dituju melainkan rumah kami. Tetapi, Jabalia seperti sudah lenyap dari peta. Kami sangat penat kerana kami juga mahu hidup seperti orang lain.

“Jalan penyelesaian diperlukan untuk menghentikan peperangan ini bagi membolehkan kami hidup dengan aman,” ujar Suad Abu Salah, 47, dalam nada sebak yang terpaksa berpindah-randah lebih tujuh bulan lalu.

BEIT HANOUN SASARAN SETERUSNYA?

Walaupun kawasan itu binasa, penduduk asal tetap bertekad mahu pulang ke kawasan kejiranan tersebut setelah tiada lagi tempat selamat di wilayah terkepung berkenaan.

Menurutnya, kumpulan tersebut sanggup mendirikan khemah sementara di tengah-tengah lokasi runtuhan.

“Ada yang bimbang jika rejim Zionis kembali semula. Namun, kami tidak akan berganjak dari sini,” kata Najjar.

Kebanyakan struktur binasa sepenuhnya dan hanya tinggal sisa konkrit.
Kebanyakan struktur binasa sepenuhnya dan hanya tinggal sisa konkrit.

Pada Jumaat lalu, Pasukan Pertahahan Israel (IDF) mengumumkan misi mereka di timur Jabalia sudah berakhir setelah rejim Zionis mendakwa lokasi tersebut kononnya menjadi tempat pejuang Hamas berkumpul semula.

Sehari selepas itu, penduduk Jabalia memberitahu bunyi tembakan dan bedilan artileri masih kedengaran dari bahagian timur menandakan ofensif belum benar-benar berakhir.

Pertempuran baharu yang lebih ganas tercetus semula di kawasan utara Gaza pada awal Mei ketika IDF merampas kawalan di lintasan Rafah yang bersempadan dengan Mesir.

Mahmud Assaliyah, 50, dalam nada kecewa berkata, kebanyakan kediaman termasuk blok apartmen telah musnah sepenuhnya.

“Tiada satu rumah pun yang tidak menjadi sasaran IDF. Kediaman saya juga hanya tinggal sisa runtuhan,” tambahnya.Selepas kehancuran teruk di Jabalia, IDF bertindak mengeluarkan arahan kepada penduduk di Beit Hanoun supaya meninggalkan kawasan itu.

Penduduk asal di kawasan itu nekad kembali semula ke Jabalia.
Penduduk asal di kawasan itu nekad kembali semula ke Jabalia.

Ia memberi alasan misi di timur Jabalia telah selesai dan bersiap siaga untuk operasi seterusnya.

Ketika ini, kempen pengeboman rejim Zionis terus diperhebatkan di Rafah setelah unit kereta kebal dilaporkan membedil kawasan kejiranan Tal al-Sultan selain hujan artileri makin ganas di timur dan tengah bandar paling selatan itu. - Agensi

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!