Tanam padi dalam polibeg

Jelisun menunjukkan padi yang dituai hasil pokok yang ditanam dalam polibeg.
Jelisun menunjukkan padi yang dituai hasil pokok yang ditanam dalam polibeg.
A
A
A

TEMERLOH - Seorang penduduk mengambil inisiatif menanam padi dalam polibeg yang juga julung kalinya diusahakan di Pahang.

Memulakan usaha tersebut berhampiran rumahnya di Kampung Bolok Hulu Sokmek dekat Lanchang di sini, Jelisun Long, 58, mula mengusahakan tanaman makanan ruji rakyat tempatan itu sejak Februari lalu.

Mengakui turut bimbang ramalan kemarau selama 10 tahun di negara ini, Jelisun menyifatkan projek itu sebagai persediaan awal untuk bekalan makanan.

Jelisun memulakan projek tanaman padi dengan 600 polibeg.
Jelisun memulakan projek tanaman padi dengan 600 polibeg.

Beliau yang juga Biro Ekonomi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) itu mengusahakan 600 polibeg padi dengan modal permulaan kira-kira RM2,000.

"Saya dipertanggungjawabkan untuk mencari inisiatif sesuai untuk penduduk kampung, mengenangkan harga beras semakin mahal, jadi saya memilih untuk menanam padi di dalam polibeg.

Jelisun menuai hasil padi yang ditanam berhampiran rumahnya sejak Februari lalu.
Jelisun menuai hasil padi yang ditanam berhampiran rumahnya sejak Februari lalu.

"Idea ini juga timbul selepas melihat di YouTube, ada penduduk di Indonesia tanam padi di tepi kawasan rumah sahaja.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum memulakan projek ini, saya mengambil masa kira-kira setahun untuk mempelajari teknik tanaman di Selangor selain dapatkan benih padi dari Kedah," katanya kepada Sinar Harian.

Ujar beliau, penggunaan polibeg lebih menjimatkan kos, masa dan kurang ancaman haiwan perosak seperti serangga dan siput berbanding di sawah.

Tanaman padi menggunakan polibeg diusahakan oleh Jelisun di tepi rumahnya sejak Februari lalu.
Tanaman padi menggunakan polibeg diusahakan oleh Jelisun di tepi rumahnya sejak Februari lalu.

Jelasnya, untuk ancaman burung, beliau membina rumah jaring untuk mengurangkan serangan haiwan tersebut.

Katanya, projek tanaman padi miliknya itu sudah boleh dituai yang menghasilkan kira-kira empat kilogram beras untuk kegunaan sendiri.

"Projek tanaman padi ini juga telah mendapat sokongan JPKK kampung dan kita akan memulakan projek perintis pada Julai depan di kawasan pekarangan rumah dan mereka kini sedang giat membuat persediaan tapak.

"Ini akan menjadi projek sara hidup dan boleh membantu peserta terlibat mempunyai bekalan beras sendiri nanti," tambahnya.

Projek tanaman padi membabitkan penduduk Kampung Bolok Hulu Sokmek akan dimulakan pada Julai nanti.
Projek tanaman padi membabitkan penduduk Kampung Bolok Hulu Sokmek akan dimulakan pada Julai nanti.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!