Makin kerap kejadian pokok tumbang, apa penyelesaiannya?
SETIAP kali hujan dan angin kencang dilapor berlaku, penulis trauma untuk berada di mana-mana tempat yang ada pokok besar dan tinggi kerana khuatir ia tumbang.
Ini kerana, selepas negara berhadapan dengan peralihan monsun yang bermula 29 Mac lalu, banyak kejadian tidak diingini berlaku dan kali ini banyak kes melibatkan pokok tumbang sehingga merosakkan harta benda awam.
Pun begitu, ketakutan penulis bermula apabila negara digemparkan dengan kejadian pokok tumbang di ibu kota, Kuala Lumpur pada 7 Mei lalu sehingga mengorbankan satu nyawa.
Sebelum ini, media turut melaporkan bahawa insiden pokok tumbang turut berlaku di Universiti Malaya (UM) sehingga menghempap kenderaan, menghalang lalu lintas dan kemusnahan harta benda termasuk kediaman.
Terbaharu pada Isnin, seorang pengguna media sosial, Facebook berkongsi satu hantaran yang menyatakan ada kejadian pokok tumbang di kawasan perumahannya di Gombak.
Insiden berkenaan tidak melibatkan nyawa, namun hanya harta benda yang rosak.
Kejadian itu menimbulkan tanda tanya tentang keselamatan pengguna terhadap pokok-pokok besar yang ditanam berhampiran jalan raya.
Sudah tiba masanya pihak yang bertanggungjawab terhadap pokok ditanam untuk mengupah pakar bagi memeriksa tahap kesuburan, cengkaman akar dan keselamatan tanaman berkenaan.
Perkara tersebut tidak boleh dipandang remeh dan perlu melalui proses pemeriksaan segera kerana ia melibatkan nyawa orang ramai dan harta benda awam.
Tidak dinafikan bahawa pokok berkenaan menjadikan pemandangan menarik, pengudaraan lebih nyaman dan memberi keselesaan kepada pejalan kaki kerana redup.
Bagaimanapun, segala aspek yang ingin dicapai memerlukan perancangan bandar kerana tidak semua flora sesuai ditanam di lokasi padat dengan bangunan.
Ini perkara yang perlu diberi perhatian bahawa setiap pokok memerlukan kekuatan akar dan perlu menjalar di dalam tanah untuk mencengkam bagi membolehkan ia hidup dengan sempurna.
Justeru, mana-mana pihak perlu bertanggungjawab terhadap mana-mana tanaman dijaga untuk memastikan kesihatan akar berada pada tahap yang baik.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!