Pekerja restoran gigih cari cincin dalam tong sampah
PETALING JAYA - Keikhlasan para pekerja di sebuah restoran di sini untuk mencari sebentuk cincin milik pelanggannya dalam sisa makanan di tong sampah mendapat pujian netizen.
Kejadian itu disedari pelanggan mereka yang juga seorang wanita apabila melihat cincin tiada pada jarinya ketika dalam perjalanan pulang ke rumah bersama suaminya.
Kata Daryl William Bridger, cincin milik isterinya sangat istimewa kerana ia pemberian ibu selain ada nilai-nilai sentimental.
Mereka terpaksa patah balik ke restoran tersebut dan meminta pertolongan pekerja untuk mencari cincin berkenaan yang ditinggalkan di atas meja makan.
"Saya benar-benar terharu kerana mereka sanggup membantu dengan mencarinya di dalam tong sampah.
"Sebaik menemui cincin tersebut, mereka bersorak kegembiraan seolah-olah cincin itu milik mereka. Mereka siap bertepuk tangan dan bersorak dengan kuat.
"Saya sangat kagum dan terpegun dengan keikhlasan yang dipaparkan oleh pekerja tersebut. Sangat baik dengan pelanggan mereka," katanya memuat naik status itu di Facebook sebelum tular di laman sosial.
Menurut Daryl, pekerja juga menolak bayaran sagu hati di atas pertolongan tersebut dan ia cukup menyentuh hati.
"Kami akan sentiasa memberi sokongan kepada restoran ini kerana kamu semua memiliki hati yang baik," katanya.
Difahamkan, cincin itu ditemui di dalam beg plastik sampah selepas beberapa jam mencarinya.
Perkongsiannya mencuri perhatian netizen yang memuji tindakan pekerja kerana memberi perkhidmatan terbaik buat pelanggan mereka.
"Luar biasa, khidmat yang diberikan sangat terbaik," kata Kesavan.
Cammy pula memberitahu pekerja itu memiliki sikap yang baik dan jujur.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!