Polis terima laporan mangsa pergaduhan di kedai makan
GEORGE TOWN - Polis mengesahkan menerima laporan berhubung satu kejadian pergaduhan melibatkan dua individu di sebuah kedai makan dekat sini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, polis menerima laporan daripada mangsa dalam kejadian terbabit pada jam 8.07 malam, 1 Jun lalu.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati, kejadian terbabit berlaku pada jam 4 pagi, 31 Mei lalu.
"Pergaduhan melibatkan dua lelaki tempatan di sebuah kedai makan di sini.
"Setakat ini tiada tangkapan lagi dan kami masih menyiasat punca kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Razlam berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Pada jam 2 petang semalam (Isnin), telah terkesan satu rakaman klip video berdurasi 1 minit 51 saat yang dimuat naik di aplikasi X memaparkan insiden pergaduhan antara dua individu di sebuah kedai makan.
"Saya ingin menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan tidak menularkan video berkenaan," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!