Maresca teruja latih Chelsea
JURULATIH baharu Chelsea, Enzo Maresca meluahkan rasa teruja untuk mengemudi The Blues meraih kejayaan dalam saingan Liga Perdana Inggersi (EPL) musim ini.
Malah pengendali berusia 44 tahun menyifatkan Chelsea sebagai sebuah kelab ternama yang menjadi impian setiap jurulatih.
“Untuk menyertai Chelsea, satu daripada kelab terbesar di dunia adalah satu impian bagi mana-mana jurulatih.
“Itulah sebabnya saya terlalu teruja dengan peluang ini.
“Saya tidak sabar untuk bekerja dengan sekelompok pemain yang amat berbakat dan staf untuk membentuk pasukan yang meneruskan tradisi kelab meraih kejayaan dan membanggakan peminat kami,” ujar Maresca.
Bos Leicester City itu mengikat kontrak lima tahun untuk menggantikan Mauricio Pochettino yang meninggalkan kelab itu.
Warga Itali itu menarik minat pemimpin Chelsea selepas mengemudi Leicester memenangi Liga Kejuaraan musim lalu dalam kempen sulungnya di Stadium King Power.
“Kami gembira menyambut kehadiran Enzo ke Chelsea,” ujar pengarah sukan bersama Chelsea, Laurence Stewart dan Paul Winstanley dalam satu kenyataan malam Isnin.
Kelab percaya Maresca mempunyai keupayaan sebagai jurulatih cemerlang mampu meraih keputusan mengagumkan dengan gaya yang menarik dan tersendiri.
“Enzo benar-benar memukau kami dalam perbincangan kami sebelum
pelantikannya. Impiannya dan etika kerjanya selaras dengan kelab ini,” ujar kenyataan kelab.
Beberapa calon dikaitkan dengan kerusi panas itu susulan pemergian Pochettino selepas hanya satu musim mengendalikan Chelsea.
Bekas bos Brighton, Roberto De Zerbi, pengurus Ipswich, Kieran McKenna dan jurulatih Brentford, Thomas Frank dilaporkan berada dalam senarai pertimbangan sebelum kelab barat London itu memutuskan untuk mengikat Maresca.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!