'Macam air teh tarik lalu depan rumah'
IPOH - Penduduk Taman Klebang Damai dekat sini serta sekitarnya terpaksa berdepan banjir kilat paling buruk sejak 15 tahun taman perumahan tersebut dibangunkan di kawasan berkenaan.
Seorang penduduk, Abd Rahman Zakaria, 56, berkata, sejak tinggal di situ pada tahun 2008, belum pernah terjadi banjir lumpur sehingga masuk ke dalam kawasan rumah.
Menurutnya, selama ini memang ada kejadian air naik disebabkan hujan lebat tetapi tidaklah sampai masuk ke kawasan rumah dan membawa bersama lumpur.
"Banjir kilat kali ini paling teruk walaupun tak masuk dalam rumah hanya bahagian hadapan sahaja tetapi keadaan ini amat membimbangkan. Barang-barang macam rak kasut dan kasut yang diletak di luar rosak kerana ditenggelami air.
"Apabila banjir surut, kawasan jalan dan tempat parkir kereta di luar rumah dipenuhi lumpur. Untuk tahun ini sahaja sudah tiga kali kami berdepan masalah ini," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya di sini pada Isnin.
Bagi Mohd Nazri Mat Zain, 45, pula, banjir paling teruk itu berlaku pada 31 Mei lalu disebabkan hujan lebat kira-kira satu jam tiba-tiba air naik begitu pantas menyebabkan beberapa barang yang diletakkan di luar rumah turut hanyut.
Menurutnya, keadaan itu merupakan pengalaman paling buruk sejak tinggal di kawasan perumahan tersebut kerana sepanjang berada di situ tidak pernah berlaku banjir lumpur.
Malah katanya, kawasan taman perumahan itu juga agak tinggi berbanding kawasan lain namun banjir kilat itu dipercayai berlaku disebabkan masalah sistem takungan air dan projek pembinaan berhampiran.
Masalah sama turut dihadapi Muhammad Haffizul Rozadin, 40, yang memaklumkan bahawa air naik agak tinggi sehingga tidak nampak jalan di taman berkenaan.
Menurutnya, disebabkan keadaan itu, sebahagian penduduk terpaksa membalut ekzos kenderaan masing-masing setiap kali hujan kerana bimbang banjir kilat yang berlaku akan merosakkan kenderaan mereka.
Jelasnya, penduduk amat berharap agar masalah dihadapi itu diberikan perhatian oleh pihak-pihak berkaitan bagi mengelak kejadian lebih buruk berlaku.
Seorang lagi penduduk, Burhanudin Zainal Azman, 54, turut menggesa pihak-pihak berkaitan memberikan perhatian serius terhadap permasalahan yang dihadapi penduduk di taman perumahan berkenaan.
"Kalau air yang naik itu jernih dan tak teruk mungkin kita faham sebab faktor cuaca, tapi kalau air itu keruh macam teh tarik lalu depan rumah memang kami tak boleh tahan.
"Jika masalah ini dibiarkan dibimbangi keadaan akan menjadi lebih teruk. Silap-silap boleh masuk dalam rumah kami lepas ini. Kita harap ada tindakan untuk menyelesaikan masalah ini," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Klebang Damai, Rahimi Che Rose memaklumkan kejadian tersebut telah mendapat perhatian pihaknya sejak kejadian pertama pada 22 April 2024 diikuti 8 Mei dan paling teruk berlaku pada 31 Mei lalu.
Menurutnya, susulan kejadian itu beberapa pihak sudah dimaklumkan secara tidak rasmi menerusi aplikasi WhatsApp dan panggilan telefon selain muat naik menerusi aplikasi media sosial untuk mendapatkan perhatian pihak berkaitan.
"Setakat ini ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) sudah datang melihat keadaan banjir kilat tersebut. Saya juga sudah maklumkan kepada ahli majlis untuk perhatian pihak berkuasa tempatan.
"Sebanyak 25 rumah yang paling teruk berhadapan dengan masalah ini dan kita minta ia segera ditangani kerana bimbang penduduk ambil tindakan sendiri kerana tidak tahan dengan masalah banjir lumpur ini," katanya.
Rahimi berkata, pihaknya juga sudah menghantar surat dan aduan rasmi kepada pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) pada Selasa untuk tindakan selanjutnya mengikut saluran rasmi.
Dalam perkembangan berkaitan, ADUN Manjoi, Hafez Sabri menerusi hantaran di Facebook memaklumkan pihaknya sudah beberapa kali turun padang melihat isu tersebut yang masih belum selesai.
Sehubungan itu beliau menggesa pihak berwajib untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan segera bagi memastikan penduduk tidak perlu lagi berdepan banjir kilat bersama lumpur itu.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!