MTNP sasar lepasan pelajar lanjut pengajian di universiti terbaik dunia

Mahmud (kanan) mengucapkan tahniah kepada Akif yang turut hadir pada sesi sidang akhbar di Yayasan Pahang pada Selasa.
Mahmud (kanan) mengucapkan tahniah kepada Akif yang turut hadir pada sesi sidang akhbar di Yayasan Pahang pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) menyasarkan lepasan institusi itu mendapat tempat untuk melanjutkan pengajian di universiti terbaik dunia pada masa akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, Datuk Indera Mahmud Mohd Nawawi berkata, matlamat itu antara hala tuju MTNP dalam tempoh 10 tahun ke depan.

Menurutnya, sasaran itu realistik selari dengan prestasi MTNP apabila dinobatkan institusi terbaik peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysian(SPM) 2023 berdasarkan keputusan peperiksaan itu yang diumumkan 27 Mei lalu.

"MTNP mencatat Gred Purata Sekolah (GPS) 1.07 sekali gus mengatasi sekolah-sekolah berprestasi tinggi di negara ini.

"Pada masa sama, MTNP juga berjaya mengekalkan pencapaian terbaik dalam SPM di Pahang untuk tempoh 10 tahun berturut-turut," katanya pada sidang akhbar keputusan SPM MTNP di Kompleks Yayasan Pahang di sini pada Selasa.

Mahmud berkata, daripada 56 calon yang menduduki SPM tahun lalu, 23 calon atau 41 peratus berjaya mencatat keputusan semua A manakala 48 calon lagi atau 88 peratus berjaya memperolehi 8A ke atas.

"Lebih membanggakan kesemua pelajar ini telah berjaya khatam dan menghafaz 30 juzuk al-Quran dan 44 daripada mereka telah lulus ujian syahadah (membaca secara hafazan tanpa salah) kategori lima, 10 dan 15 juzuk Al-Quran.

"Pelajar terbaik dinobatkan kepada Akif Ibrahim yang memperoleh keputusan 11A dan menghafaz 30 juzuk al-Quran selain aktif dalam kokurikulum," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kejayaan itu menjadi sejarah tersendiri yang dilakar MTNP selepas 28 tahun penubuhannya.

"MTNP adalah institusi tahfiz milik penuh Yayasan Pahang, sebuah agensi kerajaan negeri yang ditubuhkan untuk memartabatkan pendidikan anak-anak Pahang dalam bidang al-Quran khususnya dalam melahirkan tenaga profesional dan teknokrat.

"Sejak 2006 hingga tahun ini, kerajaan negeri melalui Yayasan Pahang membelanjakan RM51.2 juta bagi membiayai lebih 713 pelajar yang mengikuti pengajian di MTNP ini," katanya.

Tambah beliau, kejayaan para pelajar itu diharap dapat diteruskan lagi hingga ke peringkat tertinggi seterusnya berjaya menjadi huffaz teknokrat dan pakar dalam pelbagai bidang.

"Kami menjunjung kasih kepada Sultan Pahang,Al- Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Penaung DiRaja MTNP yang mencetus idea ke arah penubuhan institusi ini pada tahun 1996.

"Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih juga kepada kerajaan negeri di bawah kepimpinan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah MTNP kerana sentiasa menyokong, memberi idea bernas dan prihatin terhadap pembangunan MTNP," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!