Penduduk rayu lulus permohonan sewa PPR Ulu Tiram
PASIR GUDANG - Seramai 10 keluarga di sini merayu kerajaan menangguhkan pemindahan dari Kampung Rinting C sehingga permohonan mereka menyewa kediaman di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Ulu Tiram, Johor Bahru diluluskan.
Nurzatolifri Bokhari, 36, berkata, mereka menerima arahan berpindah dari tanah milik Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) yang diduduki dalam tempoh 30 hari dengan notis pertama pada 23 Mac lalu dan notis kedua 2 Mei lalu.
"Saya kini dalam proses rayuan selepas permohonan berpindah ke PPR Ulu Tiram iaitu kediaman disediakan untuk penduduk Kampung Rinting C yang diarahkan berpindah. Permohonan sebelum ini ditolak atas alasan tidak layak.
"Saya dan keluarga yang sudah tinggal di kampung ini sejak kecil kira-kira 25 tahun lalu berharap mendapat kelulusan tinggal di PPR Ulu Tiram kerana kadar sewanya rendah," ujar ibu tunggal kepada dua anak dan bekerja di sebuah kilang di sini.
Dia berkata demikian kepada pemberita selepas sesi perjumpaan 10 keluarga kampung itu bersama Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dan agensi berkaitan di Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Pasir Gudang, Kota Puteri di sini pada Selasa.
Seramai 27 keluarga yang tinggal berhampiran sungai diarahkan berpindah dari tanah rizab JPS di kampung itu bagi memberi laluan untuk projek tebatan banjir.
Seorang lagi penduduk hanya mahu dikenali sebagai Mohd Faizal, 39, berharap kerajaan sedia meluluskan permohonan mereka dan semua dokumentasi yang diperlukan sudah diserahkan termasuk surat daripada pejabat tanah, JPS dan pesuruhjaya sumpah.
"Permohonan saya ditolak kerana masih bujang sedangkan permohonan itu untuk saya dan ibu bapa saya yang ketika ini tinggal di kampung itu," katanya.
Yuli Indra, 32, yang sudah menetap di kampung itu sejak 22 tahun lalu berkata, keluarganya kecewa apabila tidak dapat menduduki PPR tersebut namun masih tidak berputus asa dan berharap kerajaan akan memperhalusi permohonannya.
"Alasan permohonan saya ditolak kerana sudah ada keluarga dan ada rumah lain. Permohonan untuk PPR tersebut adalah untuk ibu bapa saya yang juga masih berada di kampung tersebut," ujar ibu kepada dua anak itu.
Sementara itu, Hassan berkata, pihaknya akan membawa dokumen dan surat rayun mereka kepada Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor serta pejabat tanah untuk dipertimbangkan permohonan mereka.
Beliau juga katanya, akan membawa perkara tersebut dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Tindakan Daerah (JKTD) yang dipengerusikan Pegawai Daerah Johor Bahru.
"Semuanya melibatkan 27 keluarga. Sebanyak 17 daripada keluarga ini sudah menyewa di PPR tersebut manakala 10 keluarga lagi ditolak permohonan atas pelbagai sebab. Projek tebatan banjir itu untuk melebar dan membesarkan sungai," ujarnya.
Sebelum ini kata Hassan, banjir mengakibatkan kawasan sekitar seperti Lebuhraya Pasir Gudang, Kuil Arulmigu Sri Muniswarar dan kawasan berdekatan dinaik air.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!