Nasib berbeza beregu negara di Terbuka Indonesia
NASIB berbeza menimpa dua beregu negara yang menggalas cabaran Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024 selepas Kejuaraan Terbuka Indonesia Super 1000 membuka tirai pada Selasa.
Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah memulakan kempen pusingan pertama di Istora Gelora Bung Karno, Jakarta langkah kanan biarpun diberikan tentangan sengit.
Tampil dengan status nombor 13 dunia, Pearly-Thinaah membuka gelanggang dengan mentaliti kemenangan apabila menewaskan gandingan 43 dunia dari Taiwan, Sung Shuo Yun-Yu Chien Hui, 21-19, 22-20 dalam masa 40 minit.
Sementara itu, beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei ditunjukkan jalan keluar awal dari Jakarta selepas ditewaskan wakil Korea Selatan, Seo Seung-jae-Chae Yu-jung, 21-13, 21-15 dalam masa 32 minit.
Kekalahan gandingan nombor sembilan dunia itu kepada lawan berstatus ranking empat dunia tersebut mengulangi pencapaian sama semasa edisi 2023 ketika tewas kepada wakil Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito, 17-21, 21-15, 17-21.
Sementara itu, juara Malaysia Masters, Goh Soon Huat-Shevon Lai gagal memanfaatkan kelebihan menang set pertama 21-16, apabila dijinakkan kebangkitan wakil Hong Kong, Lee Chun Hei Reginald-Ng Tsz Yau, 17-21, 10-21 dalam masa 43 minit.
Prestasi gandingan nombor 16 dunia itu juga mengulangi pencapaian edisi 2023 ketika tewas kepada wakil tuan rumah, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati 24-26, 17-21 selepas menang set pertama 21-13.
Turut mara, pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia yang menewaskan wakil Hong Kong, Ng Ka Long Angus, 21-17, 21-16 dalam masa 40 minit.
Pada edisi 2023, Zii Jia disekat seawal pusingan pertama oleh pemain India, Lakshya Sen apabila tewas 17-21, 13-21.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!