Bingkisan istimewa teh BOH
SEMPENA meraikan ulang tahun ke-90, BOH melancarkan Teh Emerald Blend edisi terhad sebagai mercu tanda legasi pengeluar teh terkemuka negara.
Hadir dalam tin motif buku, reka bentuknya pula mengambil inspirasi bunga-bungaan dan kehijauan tropika yang menghiasi panorama sekitar kebun teh Cameron Highlands, Pahang. Ini bermakna, selain dijadikan koleksi peribadi, tin istimewa tersebut juga ideal dihadiahkan kepada sahabat.
Teh Emerald Blend merupakan gabungan teh earl grey yang diadun bersama bunga Marigold. Kemudian, ia disempurnakan dengan nada sitrus dan bunga semula jadi lalu menghasilkan campuran teh beraroma segar.
Untuk menikmatinya, sebatikan teh di dalam cawan berisi air panas dan rendamkan antara tiga hingga lima minit untuk kelazatan yang ummph! sebenar.
Sejak diasaskan oleh J A Russell di ladang teh Cameron Highlands, Pahang pada tahun 1929, kini jenama BOH terukir kemas dalam senarai syarikat teh dunia yang menanam, memproses, membungkus dan memasarkan teh keluaran sendiri.
Inisiatif tersebut adalah untuk memastikan kualiti, rasa dan aroma teh sentiasa menepati cita rasa pencinta minuman berkenaan umpama dibawa segar dari ladang terus ke dalam cawan.
Teh Emerald Blend Edisi Terhad
Harga: RM48 seunit
Lokasi: Kedai runcit terpilih, Pusat Boh Teh Sungei Palas, Cameron Highlands atau pembelian secara atas talian
Web: www.bohtea.com
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!