Hampir 4 juta pekerja berisiko jatuh miskin pada usia tua - KWSP
SHAH ALAM - Hampir 4 juta pekerja berdepan dengan risiko yang lebih tinggi untuk jatuh ke dalam kemiskinan pada usia tua akibat daripada ketiadaan liputan program pencen dan persaraan rasmi.
Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, perubahan landskap kini menjurus ke arah pekerjaan tidak formal seperti pekerja gig dan golongan bekerja sendiri menjadi cabaran utama.
Menurutnya, dalam usaha menangani cabaran berkenaan, kerajaan telah membantu dan meningkatkan simpanan persaraan sektor tidak formal melalui program i-Saraan dengan menggalakkan caruman sukarela kepada KWSP.
"Selaras dengan matlamat Ekonomi Madani untuk memperluaskan perlindungan sosial kepada semua, KWSP sedang meneroka inovasi yang boleh diaplikasikan ke atas skim KWSP bagi memberikan perlindungan persaraan yang lebih baik kepada sektor tidak formal.
"Salah satu langkah terkini ialah penstrukturan semula akaun KWSP pada fasa pengumpulan simpanan yang melibatkan semua ahli bawah umur 55 tahun yang memberikan fleksibiliti kepada semua ahli," katanya dalam satu Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa Ke-11 2024 (ISWC 2024) pada Selasa.
Persidangan berkenaan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn, Menteri-Menteri Kabinet, pegawai kanan kerajaan, ahli lembaga serta panel pelaburan KWSP.
Mengulas lanjut mengenai persidangan itu, Ahmad Badri berkata, ISWC 2024 adalah satu langkah untuk mewujudkan sistem perlindungan sosial demi kesejahteraan rakyat Malaysia yang lebih baik selaras dengan peralihan Malaysia ke arah status negara tua.
Jelasnya, keperluan untuk membina sistem perlindungan sosial yang komprehensif dan mampan kini menjadi lebih mendesak.
Tambahnya, pelaburan dalam sistem perlindungan sosial adalah penting dan merupakan tanggungjawab bersama bagi memastikan tiada mana-mana individu yang tertinggal.
“Pada tahun ini, ISWC 2024 memberi tumpuan kepada pelbagai isu dan cabaran berkaitan penuaan penduduk dan persaraan, khususnya dalam menjamin pendapatan semasa usia tua. KWSP memahami bahawa pendekatan yang holistik adalah penting untuk memenuhi keperluan yang berbeza setiap lapisan masyarakat.
“Pembaharuan dan penambahbaikan dijalankan bukan sahaja mampu mengukuhkan sistem perlindungan sosial yang ada tetapi juga dapat memastikan keterangkuman dan keselamatan lebih baik untuk rakyat Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Badri berkata, KWSP berhasrat untuk menumpukan perhatian kepada fenomena penuaan penduduk yang sedang pesat berlaku di seluruh dunia.
Beliau berkata, kesan daripada peningkatan jangka hayat dan penurunan kadar kelahiran, Malaysia dijangka menjadi negara tua pada tahun 2043 dengan 14 peratus daripada penduduk terdiri daripada populasi berusia 65 tahun ke atas.
“Menjelang tahun 2060, Malaysia dijangka mempunyai tiga orang dewasa umur bekerja bagi setiap warga emas berbanding 10 orang dewasa umur bekerja bagi setiap warga emas pada tahun 2020.
“Walaupun peningkatan jangka hayat adalah salah satu penanda kemajuan sesebuah negara, perubahan demografi ini juga akan menimbulkan cabaran kepada masyarakat Malaysia.
"Khususnya dalam bidang penjagaan kesihatan, kemudahan penjagaan warga emas dan jaminan pendapatan persaraan,” jelasnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
@sinarharianonline Hampir 4 juta pekerja berisiko jatuh miskin pada usia tua - KWSP Muzik: Theatre of Delays - Black Sea - No Drums Version #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #BuletinTikTok #Semasa #Nasional #Ekonomi #Kewangan #KWSP #Kerja #Bersara #Pencen #Miskin #Tua
original sound - Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!