Kastam Sabah rampas minuman keras bernilai lebih RM1.5 juta

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman (empat dari kiri) bersama pegawai Kastam menunjukkan rampasan minuman keras susulan penahanan tiga kontena di Pelabuhan Sepanggar pada Selasa. Foto Bernama
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman (empat dari kiri) bersama pegawai Kastam menunjukkan rampasan minuman keras susulan penahanan tiga kontena di Pelabuhan Sepanggar pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas tiga kontena minuman keras dianggarkan bernilai lebih RM1.5 juta termasuk duti dan cukai dipercayai cuba diseludup masuk dari negara jiran di Pelabuhan Sepanggar di sini pada 24 April lepas.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, rampasan dibuat antara 10.50 pagi dan 3.39 petang apabila anggota JKDM mendapati imej pada mesin imbasan dalam kontena itu meragukan.

"Modus operandi yang dipercayai didalangi sindiket penyeludupan ini ialah memalsukan maklumat dengan mengisytiharkan barangan itu sebagai pemegang telefon bimbit, barangan rumah dan jengkaut,” katanya pada sidang media di Wisma Penguatkuasaan JKDM di sini pada Selasa.

Beliau berkata, siasatan tertumpu kepada ejen perkapalan kerana barangan diisytiharkan dalam kontena itu berbeza dan tidak mematuhi peraturan yang digariskan.

Sementara itu dalam Ops Tuai yang dijalankan pada 22 hingga 29 Mei lepas, JKDM Sabah merampas pelbagai jenama minuman keras, rokok, dua buah lori dan kereta Perodua Viva yang dianggarkan bernilai lebih RM450,000 termasuk duti dan cukai.

Mohd Nasir berkata, dalam operasi selama lapan hari itu, lima individu termasuk seorang warganegara asing berumur antara 19 hingga 41 ditahan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, operasi itu dijalankan di kawasan Ranau, Kota Kinabalu, Papar, Kuala Penyu, Beaufort, Sipitang, Tenom dan Keningau.

Menurutnya operasi itu dijalankan bagi menyekat penjualan dan pengedaran barang-barang seludup pada musim perayaan Pesta Kaamatan.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) dan 135(1)(d) Akta Kastam 1967. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!