Budi Madani: Kenderaan diesel mewah berusia akan dipertimbangkan
KUALA LUMPUR - Kenderaan diesel mewah berusia 10 tahun ke atas akan dipertimbangkan untuk Program Bantuan Subsidi Madani (Budi Madani), kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata, bagi tujuan itu, Kementerian Kewangan (MOF) akan mengeluarkan senarai kenderaan yang diklasifikasikan mewah di bawah program Budi Madani tidak lama lagi.
"Walaupun mungkin diklasikasikan sebagai kenderaan mewah tetapi kalau (kenderaan itu) sudah ‘uzur’ lebih daripada 10 tahun, mungkin dapat (dipertimbangkan untuk Budi Madani),” katanya ketika ditemui pemberita di Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2024) di sini, pada Selasa.
MOF membuka pendaftaran Budi Madani mulai 28 Mei lepas susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.
Amir Hamzah berkata, pengumuman mengenai keputusan sama ada harga diesel akan diapungkan atau sebaliknya, akan dibuat pada masa yang sesuai.
"Beri masa kerana kita tidak mahu spekulasi yang akan menyebabkan aktiviti ‘hoarding’ (penyorokan) atau penyelewengan diesel,” jelasnya. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!