[VIDEO] Kadar fi LKM kenderaan elektrik berkuat kuasa 1 Januari 2026

A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan menguatkuasakan kadar fi Lesen Kenderaan Motor (LKM) untuk kenderaan motor tanpa pelepasan (ZEV) bermula 1 Januari 2026.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kadar fi LKM berkenaan 85 peratus lebih murah daripada kadar sedia ada.

Menurutnya, kadar fi LKM baharu yang ditetapkan hanya terpakai kepada ZEV dalam kategori Pure Battery Electric Vehicle (PBEV) dan Fuel Cell Electric Vehicle (FCEV) sahaja.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menunjukkan kadar baharu Fi Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan motor tanpa pelepasan (ZEV) atau kenderaan elektrik semasa sidang media di Kementerian Pengangkutan pada Selasa. Foto Bernama
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menunjukkan kadar baharu Fi Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan motor tanpa pelepasan (ZEV) atau kenderaan elektrik semasa sidang media di Kementerian Pengangkutan pada Selasa. Foto Bernama

"Pengumuman ini merupakan bukti bahawa kerajaan menggalakkan penggunaan kenderaan motor elektrik (EV).

“Bagi pengguna yang penting adalah tentang apa yang mereka bayar, bukan cara pengiraannya.

“Jadi kita cari pendekatan pengiraan yang mudah dan ringkas berdasarkan kuasa motor elektrik bagi memastikan bayaran itu murah daripada kenderaan ICE,” katanya pada sidang akhbar di Kementerian Pengangkutan (MOT) di sini pada Selasa.

Sebelum ini kerajaan telah mengecualikan fi LKM kepada kenderaan motor elektrik (EV) mulai 1 Januari 2022 dan akan tamat pada 31 Disember 2025.

Artikel Berkaitan:

“Kadar fi akan meningkat selaras dengan kenaikan kuasa motor elektrik. Secara amnya, peningkatan kuasa motor elektrik akan mewakili peningkatan dalam harga belian, saiz, segmen dan berat kenderaan.

“Sebagai contoh, blok 1 adalah bagi ZEVs yang mempunyai kuasa motor elektrik dari 1 watt hingga 100,000 watt, blok 2 bagi ZEVs dengan kuasa motor elektrik antara 100,001 watt kepada 210,000 watt dan seterusnya,” katanya.

Tambahnya bagi setiap blok, akan ditetapkan had minima dan maksima kadar fi LKM. Sebagai contoh, kadar fi minima LKM bagi blok 1 adalah RM20 manakala kadar maksima pula adalah RM70. Bagi blok 3, kadar fi minima adalah RM305 dan kadar fi maksima adalah RM575.

“Peningkatan secara progresif mengikut setiap peningkatan kuasa motor elektrik akan mengelakkan peningkatan kadar fi LKM secara mendadak dari satu kumpulan kepada kumpulan seterusnya,” katanya.

Anthony berkata, bagi menggalakkan transisi kepada kenderaan tanpa pelepasan karbon, kadar fi bagi kebanyakan kenderaan ZEV adalah lebih rendah berbanding kadar fi LKM bagi kenderaan internal combustion engine (ICE) dalam lingkungan jenis badan kenderaan yang sama.

“Semua kadar fi yang ditetapkan di atas akan disemakkan sekurang-kurangnya setiap lima tahun bagi memastikan keberkesanan dalam mencapai objektif peralihan kepada ZEV serta impak kepada hasil kerajaan,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!