Abai anak: Pasangan kekasih tukar pengakuan

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

SEREMBAN - Pasangan kekasih menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini pada Selasa atas pertuduhan mengabaikan anak perempuan berusia tiga tahun sehingga mengakibatkan kematiannya bulan lalu.

Kedua-dua tertuduh, Noraini Haron, 42, dan Mohd Khairul Shamsua Israk, 38, menukar pengakuan itu dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan semula di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Pada 1 April lalu, mahkamah menetapkan tarikh 2 Mei bagi laporan forensik, namun Noraini tidak hadir pada prosiding berkenaan sebelum Meor Sulaiman mengeluarkan perintah waran tangkap terhadap wanita berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh dengan niat bersama sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap mangsa, Nuraireen Afeeya Muhammad Padzli telah mengabaikan kanak-kanak terbabit sehingga menyebabkan kematiannya.

Perbuatan itu dilakukan dari 18 Mac hingga 24 Mac lalu antara jam 12 tengah hari hingga jam 6.45 petang di sebuah rumah di Taman Mayung, Port Dickson.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Mahkamah pada ketika itu memerintahkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin untuk setiap tertuduh dengan syarat perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Bagaimanapun, hanya Noraini membayar jaminan terbabit.

Artikel Berkaitan:

Prosiding pada Selasa, Peguam L Ramesh yang mewakili Noraini memohon mahkamah membacakan semula pertuduhan kerana anak guamnya mahu menukar pertuduhan sebelum kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah.

Selain itu, Ramesh juga memohon mahkamah agar menarik semula waran tangkap terhadap Noraini dengan alasan berlaku salah faham mengenai tarikh sebutan yang lalu.

Timbalan Pendakwa Raya,Noor Syafina Mohd Radzuan memohon jaminan diteruskan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan waran tangkap diketepikan dan sebutan semula pada 12 Julai depan bagi laporan forensik.

Media pada 27 Mac lalu melaporkan polis menahan seorang lelaki di sebuah rumah di Bandar Sunggala, Port Dickson bagi membantu siasatan membabitkan kes pengabaian seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun.

Ia susulan polis menerima laporan dari Hospital Port Dickson pada 24 Mac memaklumkan mangsa dalam keadaan kritikal akibat terjatuh daripada kenderaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!