[VIDEO] Akta berkaitan Lemon Law dibentangkan Mac tahun depan

A
A
A

PUTRAJAYA - Akta baharu atau pindaan akta berkaitan Lemon Law dijangka akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Mac tahun depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Ali berkata, pihak kementerian telah melantik pakar perundangan untuk menjalankan Kajian Pewujudan Perundangan berkaitan Lemon Law bermula bulan ini dan dijangka selesai September depan.

"Mereka akan mengemukakan laporan komprehensif untuk dibentangkan kepada kementerian dan ia akan menjadi asas kepada pertimbangan bagi kementerian mendapatkan keputusan dasar sama ada perlu wujud satu akta khusus bagi Lemon Law atau kita melaksanakan pindaan kepada akta sedia ada," katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Simposium Kepenggunaan 2024 di sini pada Selasa.

Menurutnya, sebelum kerangka perundangan baharu dimuktamadkan, KPDN akan melaksanakan dua strategi interim pendayaupayaan perlindungan pengguna dengan menubuhkan Pasukan Rundingan Khas Berkaitan Aduan Kenderaan Bermotor di peringkat kementerian.

Armizan - FOTO: SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR
Armizan - FOTO: SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR

"Kaedah rundingan yang akan digunakan adalah rundingan secara Tripartite antara kementerian, pembeli kereta dan pengedar atau pengilang.

"Melalui rundingan khas ini, satu solusi yang adil dan seimbang melibatkan semua pihak diharap akan dicapai. Pasukan rundingan ini berkuasa kuasa pada Sabtu lalu," katanya.

Dalam pada itu, Armizan berkata, KPDN juga dalam proses untuk mendapatkan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) agar satu penyelarasan dan penyeragaman berkenaan surat persetujuan terima dibuat antara institusi perbankan bagi membolehkan pengguna membuat tuntutan tebus guna di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) atau mahkamah.

Artikel Berkaitan:

"Pada masa kini antara kekangan yang dihadapi pengguna apabila ingin menuntut tebus rugi adalah kesukaran untuk mendapatkan surat persetujuan daripada bank disebabkan isu pemilikan kenderaan di bawah Akta Sewa Beli 1967 atau Akta 212.

"Tafsiran pemilikan berdasarkan akta itu adalah bank atau institusi kewangan merupakan pemilik kenderaan manakala pengguna adalah penyewa.

"Hak milik kenderaan hanya akan diserahkan kepada pengguna apabila selesai pembayaran," katanya.

Sejak 2019 sehingga kini, sebanyak 557 pemfailan kes kereta baharu direkodkan di TTPM dengan 523 kes telah selesai manakala 1,201 kes melibatkan kereta terpakai dengan 1,142 kes telah diselesaikan.

Sementara itu, beliau berkata, dua strategi interim itu merupakan inisiatif intervensi kerajaan untuk membantu pengguna apabila tuntutan awal mereka dengan pemain industri kurang berjaya dan tidak dapat diselesaikan.

"Kerajaan amat berharap sekiranya pemain industri automatif bersedia untuk menyahut hasrat ini dan bersedia bekerjasama melindungi hak pengguna dan memupuk pasaran yang adil serta telus," katanya.

Lemon Law merupakan undang-undang negeri yang diasaskan di Amerika Syarikat bertujuan agar pembeli kereta menerima pampasan seandainya produk yang dibeli rosak berkali-kali dan gagal berfungsi seperti dijanjikan.

Di Malaysia terdapat empat akta bercirikan Lemon Law berkaitan hak tebus rugi pengguna terhadap pembekal dan pengilang untuk berangan yang tidak mematuhi gerenti termaktub dalam Akta Pelindungan Pengguna 1999 (Akta 599).

Selain itu, beberapa perundangan lain seperti Akta Kontrak 1950, Akta Jualan Barangan 1957 dan Akta Sewa Beli 1968 turut mempunyai komponen Lemon Law.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!