13,846 pengembara guna aplikasi kod QR di KSAB

Jabatan Imigresen Johor menggunakan kod QR di pintu masuk KSAB, di Iskandar Puteri bermula pada Sabtu.
Jabatan Imigresen Johor menggunakan kod QR di pintu masuk KSAB, di Iskandar Puteri bermula pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 13, 846 individu telah menggunakan aplikasi kod QR di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) Iskandar Puteri, sejak diperkenalkan pada Sabtu lalu.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Roslin Jusoh berkata, seramai 117,000 pengguna pula telah memuat turun aplikasi kod QR ini, sekali gus membuktikan ia mendapat maklum balas positif daripada pengguna.

"Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ingin memaklumkan bahawa proses pengujian pemeriksaan Imigresen menggunakan Kod QR untuk perkhidmatan bas dan motosikal di CIQ Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah bermula 1 Jun 2024 telah berjalan dengan lancar.

"Pelaksanaan pengujian ini telah mendapat maklum balas positif daripada pengguna di mana berdasarkan rekod, seramai 117,000 pengguna telah memuat turun aplikasi ini dan seramai 13,846 pengguna telah menggunakan aplikasi ini," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sementara itu, Roslin memberitahu proses pengujian yang sama sedang berjalan di laluan penumpang bas di CIQ Bangunan Sultan Iskandar (BSI).

Ujarnya, JIM kini dalam peringkat akhir memperkemaskan keperluan-keperluan aplikasi Kod QR bagi memastikan kelancaran pelaksanaan aplikasi ini.

"JIM juga ingin memaklumkan bahawa pelaksanaan pemeriksaan Imigresen menggunakan Kod QR adalah dalam proses percubaan secara Proof of Concept (POC) untuk tempoh tiga bulan.

"Dalam tempoh ini, penggunaan Kod QR hanya melibatkan warganegara Malaysia yang menggunakan perkhidmatan bas dan motosikal di CIQ KSAB serta perkhidmatan bas di CIQ BSI," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya lagi, JIM. sentiasa komited dalam memastikan pelaksanaan Kod QR di CIQ KSAB dan CIQ BSI adalah berjalan lancar bagi memudahkan pergerakan keluar dan masuk di pintu masuk sempadan Malaysia-Singapura.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!