Berhenti, dibuang sekolah faktor calon tidak ambil SPM

Khairudin (tengah) menyampaikan surat tawaran kepada salah seorang yang menyertai Program Hijrah Insaniah Yayasan Perak 2024 di Ipoh.
Khairudin (tengah) menyampaikan surat tawaran kepada salah seorang yang menyertai Program Hijrah Insaniah Yayasan Perak 2024 di Ipoh.
A
A
A

IPOH - Berhenti dan dibuang sekolah menjadi antara faktor seramai 655 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 tidak menduduki peperiksaan itu di Perak.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah berkata, jumlah itu bagaimanapun menunjukkan penurunan berbanding 1,106 calon yang tidak mengambil peperiksaan bagi semua mata pelajaran pada tahun 2022.

"Faktor paling banyak adalah berhenti sekolah mencatatkan 389 calon tidak hadir manakala 124 pula dibuang sekolah.

"Ada dalam kalangan calon ini tidak berminat untuk bersekolah terutama anak murid pasca Covid kerana merasakan bekerja itu sudah cukup menjana pendapatan hingga tidak memikirkan peperiksaan.

"Selain itu, calon-calon ini ada menghadapi masalah keluarga, kemalangan, berpindah ke institusi pendidikan swasta serta ponteng," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Hijrah Insaniah Yayasan Perak 2024 di Sekolah Izzudin Shah di sini pada Selasa.

Seramai 32 pelajar Tingkatan 1 akan ditempatkan di empat sekolah di daerah Kinta bagi Program Hijrah Insaniah Yayasan Perak 2024 di Ipoh.
Seramai 32 pelajar Tingkatan 1 akan ditempatkan di empat sekolah di daerah Kinta bagi Program Hijrah Insaniah Yayasan Perak 2024 di Ipoh.

Tambah Khairudin, pihaknya telah menjalankan pelbagai program intervensi bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Yayasan Perak bagi mengurangkan isu keciciran calon SPM itu.

"Kita ada program ziarah cakna yang mana kita telah mengenal pasti pelajar-pelajar culas hadir sekolah untuk didekati dan memberi sokongan.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga beri tumpuan kepada sekolah-sekolah yang mempunyai ketidakhadiran pelajar yang tinggi untuk diberikan kursus motivasi. Agenda ketidak hadiran murid sentiasa diberi tumpuan saban tahun," katanya.

Beliau berkata, perjalanan mencapai sifar ketidakhadiran calon SPM diakui agak sukar namun pihaknya menyasarkan trend penurunan angka itu setiap tahun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!