Jakim diarah pendekkan proses sijil halal ke 15 hari

Ahmad Zahid ketika merasmikan program Halal On Track di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor Bahru pada Selasa.
Ahmad Zahid ketika merasmikan program Halal On Track di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor Bahru pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diarahkan memendekkan tempoh memproses sijil halal daripada 23 hari kepada 15 hari.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia tidak mustahil dilakukan memandangkan Jakim sebelum ini telah berjaya memendekkan tempoh memproses pensijilan halal daripada 30 hari kepada 23 hari tahun lalu.

"Ini merupakan kejayaan cukup baik dan tentunya selepas Halal On Track (HOT) ini dilancarkan, diharapkan lebih banyak kelulusan permohonan sijil halal dapat diluluskan.

"Saya sudah arahkan MARA memperuntukkan RM5 juta setahun untuk bantu pemohon (persijilan halal) mengikuti model bimbingan Jakim supaya permohonan persijilan halal dapat dikeluarkan dalam tempoh masa singkat.

"Sekiranya Jakim dibantu dengan model bimbingan ini sudah pasti sijil halal dapat diberi kelulusan bukan setakat 23 hari malah saya cabar Jakim dapat keluarkan (sijil halal) dalam tempoh 15 hari bekerja selepas ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan program Halal On Track di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor Bahru pada Selasa.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Pada 13 Oktober tahun lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, kerajaan akan memendekkan tempoh memproses pensijilan halal kepada 30 hari daripada 51 hari sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Anwar dilaporkan berkata, Halal Development Corporation (HDC) bersama JAKIM akan menerajui usaha memudah cara pemprosesan pensijilan halal khususnya untuk pengeksport produk halal.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut melancarkan i-Bimbing 2.0 untuk membantu usahawan industri halal negara menilai tahap kesediaan mereka sebelum memohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia sekali gus memendekkan proses persijilan halal dikeluarkan.

i-Bimbing 2.0 adalah edisi penambahbaikan fungsi i-Bimbing halal yang telah dilancarkan pada tahun lalu oleh Ahmad Zahid.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!