Kerajaan tidak bercadang lanjutkan tempoh kemasukan pekerja asing
NIBONG TEBAL - Kerajaan tidak bercadang untuk melanjutkan tempoh kemasukan pekerja asing termasuk warga Bangladesh ke negara ini selepas tarikh akhir pada 31 Mei lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tarikh akhir itu ditetapkan selepas mengambil kira semua proses iaitu daripada kuota diluluskan, pemeriksaan kesihatan, proses mendapatkan visa serta mengatur tiket.
"Menjawab kepada soalan sama ada kerajaan akan melanjutkan tempoh kemasukan pekerja asing ke negara, jawapannya tidak. Ini kerana, pengumuman tarikh akhir telah dihebahkan lebih awal lagi.
"Jadi tempoh 31 Mei itu adalah tempoh munasabah dan ternyata, dalam tempoh 28 hingga 31 Mei lalu, jumlah kemasukan melebih 20,000 dalam tempoh empat hari. Apabila kita semak, kelulusan visa yang mereka peroleh adalah pada November tahun lalu.
"Isunya kenapa tunggu 31 Mei untuk bawa masuk (pekerja asing)? Kalau majikan betul-betul memerlukan pekerja untuk kaut buah di ladang, visa dah lulus, dapat tiket, datang lah. Kenapa perlu tunggu jarak yang begitu lama? Jadi ini menunjukkan bahawa 31 Mei adalah tempoh yang munasabah untuk kita uruskan," katanya.
Sebelum itu, Saifuddin mengiringi Yang di-Pertua Pulau Pinang (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak melawat Penjara Seberang Perai di sini pada Selasa.
Saifuddin menambah, unjuran jumlah kemasukan pekerja asing pada Disember tahun ini akan mencecah sehingga 2.6 juta orang.
Katanya, jumlah itu melebihi sasaran Unit Perancang Ekonomi (EPU) iaitu lebih kurang 2.5 juta.
"Itu kedudukan yang ada sekarang. Jadi tentunya kemasukan mereka ini, untuk sektor perkilangan, perkhidmatan serta pembinaan, itu mencecah sasaran keperluan pekerja asing.
"Tetapi dari segi sektor perladangan dan pertanian, kita akan proses mengikut kelulusan kuota yang sedia ada sekarang ini. Tak ada lagi kelulusan baru dan sebagainya. Kita akan tengok, pertimbangan berdasarkan setiap kes," katanya.
Sebelum ini, Bangladesh memohon kepada Malaysia agar membenarkan hampir 17,000 pekerjanya yang mempunyai kelulusan visa kerja untuk masuk ke negara ini walaupun tarikh akhir pada 31 Mei lalu.
Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh, Shofiqur Rahman Choudry menggesa agar tempoh khas diberikan untuk satu kali bagi pekerja-pekerja warga Bangladesh memasuki Malaysia.
Beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Bangladesh, Haznah Md Hashim pada Rabu.
Choudry dilaporkan berkata, beliau telah merayu kepada Haznah dua minggu lalu agar tarikh akhir kemasukan pekerja dilanjutkan atas alasan ‘masalah ini telah dijangka’.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin enggan mengulas lanjut berhubung insiden seorang anggota pengiring orang kenamaan didakwa memukul seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) di KL Sentral pada 28 Mei lalu.
"Yang itu (insiden) kena IGP (Ketua Polis Negara) kot. Saya tak campur lah yang itu.
"Bagi IGP lah, bagi IGP buat lah," katanya ringkas.
Dalam kejadian berkenaan, pemandu e-hailing berusia 46 tahun yang juga OKU bisu dan pekak mendakwa dipukul pengawal pengiring ketika sedang menunggu penumpang di lobi hotel.
Mangsa turut menyatakan dipukul di kepala ketika diminta mengalihkan keretanya.
Mangsa kemudian membuat laporan polis sebelum telefon bimbit dan kamera papan pemuka keretanya yang dipercayai merakam kejadian itu dirampas oleh polis.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!