Kajian tubuh Suruhanjaya Pekerja Ekonomi Gig dibentang kepada Kabinet esok
KUALA LUMPUR - Laporan interim pertama kajian penubuhan Suruhanjaya Pekerja Ekonomi Gig akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri esok, menurut Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
Beliau berkata, laporan yang disediakan dengan kerjasama Universiti Malaya itu merupakan kertas makluman kerangka kerja bagi penubuhan suruhanjaya berkenaan.
"Selepas ini kita akan mendapatkan input-input tambahan daripada Jemaah Menteri, maka kita akan membuat perincian lanjut dan kertas muktamad akan siap pada Ogos nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran tajaan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dan memorandum persefahaman (MoU) antara Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Grab Malaysia di sini pada Selasa.
Dalam perkembangan lain, Steven berkata, pelanjutan tempoh pendaftaran dan caruman pekerja sempena Bulan Pemutihan selama sebulan hingga 30 Jun ini menyaksikan pertambahan hampir 50 peratus jumlah pendaftaran serta caruman.
Beliau berharap lebih ramai majikan tampil mendaftar dan membayar caruman pekerja mereka sebelum hujung bulan ini. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!