Cuaca panas: Lebih 2,000 petani di Kelantan terjejas
KOTA BHARU - Laporan awal kemarau terhadap sektor tanaman oleh Jabatan Pertanian merekodkan seramai 2,972 petani di Kelantan terjejas yang melibatkan kemusnahan seluas 7,467.42 hektar bermula Mac hingga 15 Mei lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, Jabatan Pertanian akan mengangkat permohonan cadangan nilaian bantuan lebih RM5.56 juta melalui peruntukan Tabung Bencana Tanaman Padi dan Tabung Bencana Pertanian bagi meringankan beban petani yang terkesan dengan kerosakan tanaman.
"Selain itu, Menteri Besar Kelantan (Datuk Mohd Nassuruddin Daud) juga telah meluluskan peruntukan bantuan segera sebanyak RM300,000 untuk membina telaga tiub, bantuan pam air dan lain-lain keperluan dalam membantu pengairan kepada para pesawah dan petani terjejas di seluruh Kelantan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas) yang bertanya mengenai tindakan yang diambil kerajaan negeri dalam membantu pesawah terjejas akibat kemarau di Kelantan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Kota Darulnaim, di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, Tuan Mohd Saripudin berkata, antara usaha yang dilakukan pihaknya menghadapi situasi bencana kemarau di Kelantan terutamanya dalam membantu pesawah padi adalah menyusun jadual penanaman padi mengikut skim pengairan dan kerja-kerja mencuci serta menggali tali air bagi memastikan kelancaran pergerakan air untuk kegunaan petani. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!