Tiga anggota Balai Polis Ulu Tiram terima penghargaan
KUALA LUMPUR - Keberanian tiga anggota Balai Polis Ulu Tiram bergadai nyawa jaga keselamatan dan ketenteraman awam ketika serangan di balai terbabit pada 17 Mei lalu mendapat perhatian penuh kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Mereka ialah Koperal Mohd Hasif Roslan, Lans Koperal Mohamad Aznel Mat Salleh dan Konstabel Mohd Khairul Azhar Abbi Paisa.
Ketiga-tiga anggota itu menerima surat penghargaan dan plak yang disampaikan sendiri oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain di pejabatnya di Bukit Aman, pada Selasa.
Majlis ringkas tapi penuh bermakna itu turut dihadiri Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar dan Ketua Polis Balai Ulu Tiram, Inspektor Mohd Hisyam Ezahar.
Menurut Razarudin, sifat berani mereka wajar dicontohi warga pasukan yang lain dalam menjalankan tugas hakiki sebagai pegawai dan anggota polis di lapangan.
"Sijil penghargaan ini boleh sahaja saya beri di padang kawad seperti penghargaan lain sebelum ini, tapi saya mahu mereka datang dan terima sendiri di pejabat saya.
"Saya mahu mereka ini jadi contoh baik kepada semua (warga polis)," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Tambah Razarudin, setiap warga PDRM adalah cermin kepada pasukan.
Dalam kejadian pada 17 Mei lalu, Balai Polis Ulu Tiram yang berada di bawah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, Johor terlibat dalam insiden serangan seorang lelaki yang mengorbankan dua anggota polis, kira-kira jam 2.15 pagi.
Dua anggota polis yang terkoban ialah Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Allahyarham Konstabel Muhammad Syafiq Ahmad Said akibat parah diserang seorang lelaki bersenjatakan parang yang turut merampas senjata api daripada salah seorang anggota berkenaan.
Suspek berusia 21 tahun bagaimanapun mati ditembak di lokasi kejadian oleh seorang anggota polis di balai terbabit.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!