'Ini peluang kedua saya'
KUALA PILAH - "Ini peluang kedua saya... saya tidak mahu hancurkan kepercayaan dan harapan mak ayah."
Itu tekad anak sulung daripada tiga beradik, Muhammad Nasrul Ashraf Nasruddin, 28, selepas diberi peluang kedua membina hidup baharu menerusi Program I-Kembali anjuran Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali (Pergak) selepas keluar penjara November tahun lalu bagi kesalahan samun bersenjata.
Muhammad Nasrul yang kini bekerja di tapak perkhemahan, Payo Campsite, Kampung Renggoh, Johol di sini apabila selesai menjalani program tersebut selama tiga bulan di lokasi sama.
Katanya, dia tidak menyangka terjebak dengan jenayah berkenaan pada tahun 2015 di Shah Alam, Selangor akibat salah memilih rakan sekali gus memberi tamparan hebat buat keluarganya.
"Bagaimanapun, mak dan ayah tidak pernah berputus asa dengan saya sampaikan sanggup melawat tanpa gagal di penjara sehinggalah saya dibebaskan pada 6 November tahun lalu.
"Mereka sentiasa beri semangat supaya kuatkan hati untuk berubah sebab bagi saya, kalau kepercayaan mereka hilang hancurlah semuanya. Kehidupan saya sekarang jauh lebih baik malah dapat memberikan mereka sedikit duit belanja," katanya ketika ditemui pemberita pada Selasa.
Ujarnya, dia berharap masyarakat tidak memandang serong terhadap bekas banduan sepertinya.
"Terima kasih kepada Datuk Seri Siti Murni Sheikh Ahmad iaitu Pengerusi Pergak yang juga pemilik dan pengusaha Payo Campsite ini yang memberi peluang kepada saya bekerja di sini selain sentiasa positif dalam segala hal membabitkan bekas banduan," katanya.
Seorang lagi bekas peserta Program I-Kembali, Hairul Nizam Kamarudin, 50, berkata, dia lega apabila dapat kembali kepada masyarakat selepas tidak lagi terjebak dengan najis dadah.
"Bukan mudah untuk kebanyakan bekas banduan itu berubah sebab selain keluarga, masyarakat juga memainkan peranannya. Jika sentiasa dipandang negatif sukar bagi bekas banduan ini untuk mendapatkan pekerjaan dan meneruskan kelangsungan hidup," katanya.
Sementara itu, menurut Siti Murni, menerusi program I-Kembali,pihaknya menyediakan peluang pekerjaan kepada bekas penghuni penjara membabitkan enam sektor iaitu industri perkilangan, perkhidmatan, pembinaan, pertanian, pemasaran dan pengurusan.
"Mereka yang terpilih akan melalui satu proses saringan di Ghullam Recovery Care Centre (GRCC) sebelum ditempatkan di sektor pekerjaan mengikut kesesuaian.
"Justeru, majikan tidak perlu bimbang untuk mengambil golongan sasar ini bekerja kerana kita telah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta syarat yang disarankan kerajaan," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!