Sistem maklumat klinik kesihatan didakwa kurang relevan

Sistem TPC-OHCIS didakwa menimbulkan pelbagai isu dalam urusan seharian kakitangan kesihatan khususnya dalam mengendalikan rawatan pesakit.
Sistem TPC-OHCIS didakwa menimbulkan pelbagai isu dalam urusan seharian kakitangan kesihatan khususnya dalam mengendalikan rawatan pesakit.
A
A
A

PUTRAJAYA - Teknologi Teleprimary Care Oral Health Clinical Information System (TPC-OHCIS) yang digunakan di kebanyakan klinik kesihatan negara ini didakwa membebankan urusan sektor kesihatan.

Menurut sumber pengamal perubatan, sistem tersebut menimbulkan pelbagai isu dalam urusan seharian kakitangan kesihatan khususnya dalam mengendalikan rawatan pesakit.

"Sistem tersebut telah dibangunkan sejak 2003 namun baru ada lebih 100 klinik yang menggunakan sistem terbabit.

"Setiap klinik pula terpaksa membelanjakan jutaan ringgit bagi memasang sistem itu dan kekangan tersebut menyebabkan ada klinik yang masih menggunakan kaedah manual (penggunaan kertas)," katanya.

Kementerian Kesihatan pada 2018 menyasarkan penggunaan TPC-OHCIS diperluaskan ke 3,300 klinik seluruh negara, namun selepas lima tahun, tidak sampai 10 peratus jumlah klinik yang menggunakan sistem berkenaan.

Tambah sumber itu lagi, sistem TPC-OHCIS kerap kali berlaku gangguan terutamanya ketika waktu puncak menyebabkan urusan rawatan pesakit menjadi lambat.

"Ada kakitangan kesihatan yang mengadu bebanan kerja mereka bertambah gara-gara banyak perkara terpaksa dibuat secara manual walaupun telah menggunakan TPC-OHCIS.

"Kelambatan sistem TPC-OHCIS turut menjejaskan rekod pesakit yang perlu dikemas kini secara berkala. Akibatnya, kakitangan kesihatan terpaksa bekerja lebih masa untuk memastikan semua rekod berada dalam keadaan yang tepat dan terkini.

Artikel Berkaitan:

"Kesan daripada masalah teknikal ini, pesakit juga menjadi mangsa apabila tempoh menunggu untuk mendapatkan rawatan menjadi lebih lama sehingga ada yang menunggu selama tiga hingga lima jam.

"Apabila situasi tersebut berlaku, klinik-klinik kesihatan berlaku kebanjiran pesakit sehinggakan mereka terpaksa beratur panjang di luar premis. Kasihan pada mereka terutamanya warga emas dan kanak-kanak," katanya.

Berdasarkan laman sesawang rasmi Kementerian Kesihatan, TPC-OHCIS mempunyai integrasi dengan sistem sokongan klinikal seperti sistem makmal dan farmasi namun sumber mendedahkan perkara itu tidak benar sama sekali.

"Sebagai contoh, sistem makmal yang sepatutnya memudahkan kakitangan kesihatan untuk menyimpan rekod ujian darah sebenarnya tidak diintegrasi dengan TPC-OHCIS menyebabkan mereka terpaksa mencetak keputusan secara manual," jelasnya lagi.

Dedah sumber itu, meskipun sistem berkenaan telah dibangunkan sejak lebih 20 tahun dan perbelanjaan untuk membangunkan teknologi itu memakan kos jutaan ringgit namun pelaksanaannya tidak lengkap atau menyeluruh.

"Sepatutnya sudah wujud usaha mendigitalisasikan sektor kesihatan secara menyeluruh memandangkan sudah masuk tahun 2024. Bagaimana sistem yang lapuk masih digunakan di klinik-klinik kesihatan awam?

"Disebabkan itu, rakyat lebih memilih dan berbelanja mahal untuk mendapatkan rawatan lebih tuntas di klinik-klinik swasta.

"Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan sekali lagi tabur janji untuk mendigitalisasi sistem kesihatan dalam masa lima tahun lagi.

"Tolong mempercepatkan usaha untuk mendigitalisasikan sektor kesihatan dan jangan hanya hangat-hangat tahi ayam sahaja," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!