Maritim Malaysia gagalkan cuban seludup keluar barang kawalan
TAWAU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup beras, gula peket dan minyak petrol ke negara jiran selepas memintas sebuah bot kargo di kedudukan 0.6 batu nautika selatan Pelabuhan Tawau di sini pada Isnin.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot menuju ke Pulau Sebatik yang dikendalikan lelaki tempatan berusia 32 tahun itu dipintas bot peronda Maritim Malaysia ketika menjalankan Op Pluto Timur dan Op Tiris pada 3.40 petang.
"Pemeriksaan terhadap bot menemukan muatan 500 kilogram (kg) beras tempatan, 500 kg beras siam, 48 kg gula pasir berpeket serta empat gelen minyak petrol diangggar 120 liter," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Shahrizan berkata, siasatan dijalankan berdasarkan cubaan menyeludup barang kawalan ke negara jiran kerana barang-barang yang dibawa itu dalam jumlah kuantiti dagangan dan tanpa permit.
"Rampasan termasuk muatan dan bot dianggarkan bernilai RM55,000. Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Padi dan Beras (Akta 522)," katanya.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan salah laku jenayah di sekitar perairan Tawau supaya menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Tawau menerusi talian 089-752 116 atau MERS 999. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!