Wei Chong-Kai Wun hantar juara dunia pulang awal
BEREGU lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun melakar sensasi dalam Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia di Jakarta sebentar tadi.
Gandingan yang menghuni ranking ke-20 dunia itu memahat pencapaian hebat dalam karier mereka apabila menghantar pulang juara dunia 2023 dari Korea Selatan, Kang Min-hyuk-Seo Seung-jae pada pusingan pertama.
Kemenangan tersebut membolehkan Wei Chong-Kai Wun mara ke pusingan kedua kejohanan berstatus Super 1000 sejak dua tahun menyertainya.
Kejayaan tersebut bagaimanapun bukan diraih dengan mudah apabila mereka dipaksa bekerja keras oleh pasangan nombor tiga dunia itu sehingga ke set penentuan dalam aksi yang berlangsung di Istora Senayan.
"Kami sangat gembira dengan kemenangan ini kerana ia adalah kemenangan terbesar dalam kejohanan Super 1000. Kami bermain dengan sangat baik dalam permainan ini.
"Sebelum ini tewas dua kali, tetapi tetap beri tentangan cuma kali ini kami tiada tekanan kerana bermain sebagai 'underdog'," ujar Wei Chong.
Dalam aksi itu, mereka bangkit daripada kekalahan set pertama 20-22 untuk mengubah skrip kemenangan 21-16 pada permainan kedua.
Enggan menoleh ke belakang, Wei Chong-Kai Wun meneruskan momentum positif untuk mengesahkan kemenangan 21-17 dalam tempoh 59 minit permainan.
"Pada pertengahan perlawanan kami bincang sesama sendiri dan jurulatih sekali gus ada pemikiran yang lebih jelas. Kami akan buat persiapan terbaik untuk perlawanan seterusnya," kata Wei Chong.
Menanti mereka pada pusingan kedua ialah pemenang perlawanan antara pasangan Denmark, Rasmu Kjaer-Frederick Sogaard dengan Chen Bo Yang-Liu Yi dari China bagi merebut slot ke saingan suku akhir pada Khamis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!