Jojo, skuad takraw raih anugerah khas SAM
ATLET seni mempertahankan diri muda negara Muhammad Johan Ghazali Zulfikar (Jojo), skuad regu dan double sepak takraw negara dipilih sebagai penerima Anugerah Khas pada majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2023 yang akan berlangsung Khamis ini.
Naib Presiden SAM Mohd Hazreen Mubarak menerusi kenyataan pada Selasa memaklumkan ia susulan pencapaian membanggakan atlet tersebut pada tahun lalu, sekali gus melayakkan mereka menerima anugerah berkenaan tahun ini.
"Bakat Jojo mula menjadi tumpuan ketika meraih emas di temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2022, Beliau wajar dijadikan contoh buat atlet muda negara... Selain itu, semangat juang tinggi ditunjukkan oleh pasukan regu dan double ketika menundukkan Thailand tempoh hari mempunyai nilai tersendiri.
"SAM melihat pencapaian Jojo dan skuad sepak takraw adalah satu sejarah justeru selayaknya Jojo, regu dan double sepak takraw Malaysia dipilih menerima Anugerah Khas ini," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan SAM.
Mei lalu, skuad takraw kebangsaan meraih dua pingat emas dan satu perak pada kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024.
Pasukan double dibarisi Muhammad Noraizat Mohd Nordin dan Aidil Aiman Azwawi memulakan langkah juara dengan kemenangan straight set 17-16, 15-14 sebelum kecemerlangan itu diteruskan oleh pasukan regu negara.
Skuad regu dibarisi Farhan Adam, Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong) dan Mohamad Azlan Alias (apit kanan) dan Muhammad Haziq Hairul Nizam yang masuk sebagai pemain gantian juga berjaya beraksi dengan baik untuk mencatat kemenangan 15-7, 15-12 untuk mengesahkan gelaran juara milik Malaysia.
Dalam pada itu, Jojo, 17, telah menumpaskan Edgar Tabares yang merupakan juara Muay Thai antarabangsa WBC dalam penampilan sulungnya di Primetime US, ONE Championship tahun lepas.
Atlet kelahiran Sarawak yang mewakili Rentap Muay Thai Gym itu melakar sejarah tersendiri apabila hanya memerlukan 36 saat untuk menumbangkan lawannya yang lebih berpengalaman menerusi pukulan 'knockout' pada pusingan pertama.
Rentetan kejayaan itu, Jojo belum pernah mengalami kekalahan dengan empat kemenangan berturut-turut selain ditawarkan kontrak bernilai AS$100,000.
Anugerah khas berkenaan akan disampaikan pada majlis yang dijadual berlangsung pada 6 Jun di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur dengan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!