Lelaki hilang selepas cari kerang ditemukan lemas
MERSING - Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas keluar mencari kerang bersendirian di sekitar Pantai Tenglu dekat sini, pada Isnin, ditemukan lemas pada petang Selasa.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing, Pegawai Bomba Kanan II, Mohamed Zainudin Ahmad berkata, mayat Hafiz Nursalam Ahmad, 21, ditemui pada jarak satu kilometer dari tepi pantai pada jam 6.36 petang.
"Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Sebelum itu, Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan Hafiz Nursalam yang bekerja sendiri itu pada 12.55 tengah malam Isnin.
Beliau berkata, mangsa yang berasal dari daerah itu sering mencari kerang di kawasan berkenaan namun dikatakan tidak pulang ke rumah selepas keluar sejak jam 10 pagi Isnin.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!