PBB zahirkan kebimbangan mendalam terhadap krisis kemanusiaan di Gaza

Volker Türk pada sidang media, Selasa. Foto Bernama
Volker Türk pada sidang media, Selasa. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melahirkan rasa kecewa dan keprihatinan mendalam terhadap krisis kemanusiaan yang semakin memuncak di Gaza.

Menyifatkan keadaan itu sebagai bencana, Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Volker Türk berkata, malah kakitangan PBB mempunyai akses terhad ke Gaza.

Beliau menyatakan bahawa organisasi antarabangsa akan terus memaklumkan kepada dunia mengenai keadaan tragis itu.

"Keadaan di Tebing Barat dengan 500 orang terbunuh sejak 7 Oktober lepas merupakan satu lagi kebimbangan yang perlu dibangkitkan kerana ia menunjukkan keadaan yang mengerikan di sana. Walaupun kita melihat keadaan di Rafah sebagai mengerikan, kita juga (melihat) keadaan yang semakin buruk di Tebing Barat. Hak asasi manusia adalah jawapannya," katanya kepada media pada akhir misinya ke Malaysia pada Selasa.

Beliau menambah bahawa adalah penting untuk berfikir dari segi sejarah kerana selepas Perang Dunia Kedua, tiada sistem yang memastikan norma yang jelas tentang menghormati hak asasi manusia dan peraturan peperangan.

Türk berkata, adalah penting untuk mempunyai norma dan piawaian dengan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 dan Konvensyen Geneva 1949 mengenai tatacara peperangan, namun ini telah dilanggar dengan kejam.

Sementara itu, Türk berkata, terdapat keperluan untuk akauntabiliti, mengakhiri impuniti dan masyarakat antarabangsa untuk bangkit dan mencari penyelesaian.

"Kami yang mempertahankan norma dan standard terus menyuarakan pendapat, terus mendokumentasikan dan melaporkannya walaupun dalam keadaan yang sangat sukar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Türk berkata, inisiatif untuk gencatan senjata dan mengakhiri situasi itu diharap dapat dicapai. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!