Jadikan derbi serumpun kejohanan tahunan
SABAH FC amat menghargai peluang yang diberikan buat skuad The Rhinos untuk menyertai edisi sulung kejohanan bola sepak antarabangsa, RCTI Premium Sports di Jakarta baru-baru ini.
Ketua Jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee berkata, ia merupakan satu pengiktirafan kepada Sabah yang menjadi antara empat pasukan yang dijemput untuk menyertai kejohanan berprestij itu.
Malah beliau meluahkan rasa tertarik dengan kejohanan tersebut dan berharap ia dijadikan sebagai kejohanan tahunan serta meningkatkan jumlah penyertaan pasukan.
“Ini merupakan satu pengiktirafan kepada Sabah FC yang menjadi antara empat pasukan yang dijemput untuk menyertai kejohanan berprestij ini.
“Syabas dan tahniah diucapkan semoga kejohanan ini dijadikan sebagai acara tahunan serta memperluaskan lagi pasukan yang menyertainya,” katanya.
Sabah FC meraih tempat keempat dalam kejohanan tersebut setelah menumpaskan PSIS Semarang 2-1 pada aksi penentuan tempat ketiga keempat hasil jaringan Jaffri Chew dan Irfan Fazail.
Beliau juga melihat kejohanan berkenaan sebagai medan yang dapat mengukur keupayaan dan menguji setiap pemain, selain mampu menjulang nama Sabah FC di pentas Asia Tenggara.
“Ini sudah tentu akan meningkatkan nama Sabah FC di persada sukan bola sepak di rantau Asia Tenggara serta dapat meningkatkan keupayaan pemain sekali gus menunjukkan kejohanan ini antara yang dinantikan oleh setiap pasukan untuk menyertainya,” katanya.
Selain Sabah FC dan PSIS Semarang, derbi serumpun yang berlangsung di Jakarta International Stadium (JiS) itu turut disertai Selangor FC yang muncul juara setelah mengalahkan Persija Jakarta 1-0 dalam aksi final Ahad lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!