Cabaran di sebalik kes Nurin, Zayn Rayyan

Kisah Nurin Jazlin, Sharlinie dan Zayn Rayyan serta mangsa-mangsa lain yang ‘ghaib’ masih misteri.
Kisah Nurin Jazlin, Sharlinie dan Zayn Rayyan serta mangsa-mangsa lain yang ‘ghaib’ masih misteri.
A
A
A

TERASA seperti baru semalam penulis menulis berita kes pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin.

Selepas kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun itu dilaporkan hilang pada 20 Ogos 2007, 28 hari kemudian mayatnya ditemui dalam beg sukan di Petaling Jaya, Selangor. Siasatan mengesahkan bahawa dia dirogol dan dibunuh.

Ketika itu penulis baru kira-kira empat bulan bergelar wartawan Sinar Harian, selepas menamatkan pengajian ijazah di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Foto sekujur tubuh terbaring kaku ditutupi kain batik di Madrasah Assa’Adah, Seksyen 1, Wangsa Maju yang dirakam penulis masih disimpan hingga kini.

Pembunuhan kejam 17 tahun lalu itu masih berbekas di hati, apatah lagi identiti pelakunya kekal misteri.

Negara kemudian digemparkan pula dengan kehilangan Sharlinie Mohd Nashar pada 9 Januari 2008, yang ketika itu berusia empat tahun.

Ketika kejadian misteri itu, Sharlinie bersama kakaknya, Sharliena (ketika itu tujuh tahun) dalam perjalanan pulang ke rumah dari taman permainan kira-kira 200 meter dari rumah sewa keluarganya di Taman Medan, Petaling Jaya.

Kanak-kanak itu tidak ditemui sehingga kini namun ibunya, Suraya Ahmad percaya anaknya masih hidup. Hati ini pilu mengenangkan kerinduan wanita itu terhadap anaknya.

Artikel Berkaitan:

Selepas itu, satu demi satu insiden jenayah membabitkan kanak-kanak dilaporkan. Sama ada menjadi mangsa keganasan, diserang secara seksual mahupun diragut nyawanya.

Terbaharu, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, ditemui tidak bernyawa di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada 6 Disember lalu.

Mangsa kemudian disahkan dibunuh berdasarkan hasil bedah siasat yang menemui kesan kecederaan pada leher dan badannya.

Ramai lagi kanak-kanak hilang dipaparkan di Portal Rasmi Kanak-Kanak Hilang di http://knk2hilang.rmp.gov.my/.

Di situ, orang ramai boleh menyalurkan secara terus maklumat mengenai kanak-kanak terbabit dengan mengisi borang yang disediakan dalam portal tersebut.

Kanak-kanak adalah golongan rentan, di mana hak dan kepentingan mereka perlu perlindungan kita semua. Dalam era digital ini, mereka bukan hanya perlu dilindungi daripada bahaya di dunia nyata tetapi juga di alam siber.

Namun ada pula segelintir ibu bapa ‘gigih’ membuat akaun media sosial anak mereka sejak kecil yang sebenarnya mendedahkan kanak-kanak itu kepada pemangsa.

Susulan trend yang membimbangkan ini, Kementerian Komunikasi akan melancarkan Kempen Keselamatan Dalam Talian untuk Kanak-Kanak dan Keluarga dalam masa terdekat, bagi menangani isu keselamatan golongan berkenaan di alam siber.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, ia bagi membanteras jenayah pengantunan atau grooming kanak-kanak menerusi media sosial dan menghentikan isu kanak-kanak di bawah 13 tahun yang mendaftar bagi penggunaan media sosial, walaupun platform tersebut tidak membenarkannya.

Fahmi berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman turut memaklumkan platform yang paling banyak disalah guna untuk tujuan pengantunan kanak-kanak ialah aplikasi WhatsApp.

Itu adalah antara usaha dilakukan oleh kerajaan untuk melindungi golongan ini, namun yang memainkan peranan paling penting ialah ibu bapa dan ahli keluarga.

Janganlah harapkan pagar, pagar makan padi. Makin menjadi-jadi pula kes haruan makan anak sejak kebelakangan ini.

Kanak-kanak adalah insan rapuh yang tidak sewajarnya dikhianati atau dianiaya oleh sesiapa pun.

Di pihak kita, di samping peka dan melakukan yang terbaik untuk melindungi insan tersayang serta memanjatkan doa kepada Ilahi, kita berilah ruang kepada pihak berkuasa melakukan siasatan tanpa mencetuskan spekulasi yang bukan-bukan.

Kisah Nurin Jazlin, Sharlinie dan Zayn Rayyan serta mangsa-mangsa lain yang ‘ghaib’ masih misteri.

Namun, perkembangan terbaharu mengenai pembunuhan Zayn Rayyan membuktikan bahawa polis tidak pernah tidur. Yakinlah kebenaran akan terungkap akhirnya dan janganlah kita berhenti berharap.

* Asmaliza Mansor ialah penyunting Sinar Harian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!