Kerja penyelenggaraan LRA SSP1 bermula

Jadual kerja penyelenggaraan LRA SSP1 yang bermula jam 9 pagi, Rabu.
Jadual kerja penyelenggaraan LRA SSP1 yang bermula jam 9 pagi, Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerja penyelenggaraan dan penggantian aset di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) telah dimulakan jam 9 pagi, Rabu mengikut jadual ditetapkan.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan memaklumkan, kerja berkenaan dijangka siap jam 7 malam pada hari sama.

Menurut kenyataan itu, pengguna dijangka menerima bekalan air secara berperingkat bermula pada 3 pagi, Khamis.

"Peratusan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas dijangka mencapai sekitar 20 peratus pada jam 3 petang, Khamis diikuti dengan 90 peratus pada jam 3 pagi, Jumaat.

" Waktu pemulihan penuh bagi kawasan yang terlibat adalah dijangka pada jam 12 tengah hari, 7 Jun 2024 (Jumaat)," kata kenyataan itu.

Air Selangor sebelum ini memaklumkan kerja penambahbaikan aset LRA SSP1 pada Rabu akan menyebabkan gangguan bekalan air berjadual di wilayah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.

Pelanggan terjejas dinasihatkan menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air dengan berhemah sepanjang tempoh gangguan.

Tambah kenyataan itu, tempoh gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan terlibat adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan itu, Air Selangor akan menggerakkan lori-lori tangki air ke premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

"Bantuan bekalan air alternatif menerusi 13 Pusat Khidmat Setempat (PKS) turut disediakan untuk kemudahan pengguna di lokasi yang tersenarai di lampiran.

"Bagi pelanggan komersial pula, bekalan air terawat boleh dibeli di kaunter khidmat pelanggan di seluruh wilayah Air Selangor.

"Bagi tujuan ini, pelanggan komersial boleh menggunakan lori tangki air masing-masing di empat stesen pengisian air yang akan dibuka di Braemar Estate (wilayah Hulu Langat), Taman Gemilang Dengkil dan Pekan Salak (wilayah Sepang), serta Taman Banting Baru (wilayah Kuala Langat), " kata kenyataan itu.

Para pengguna boleh mendapatkan maklumat gangguan bekalan air berjadual menerusi saluran komunikasi rasmi https://waterupdates.airselangor.com/.

Selain itu, maklumat semasa juga boleh didapati menerusi saluran komunikasi rasmi alternatif seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!