Bursa Malaysia dibuka tinggi

Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini, didorong terutamanya oleh belian daripada dana asing. Gambar hiasan
Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini, didorong terutamanya oleh belian daripada dana asing. Gambar hiasan
A
A
A

BURSA Malaysia dibuka tinggi hari ini, didorong terutamanya oleh belian daripada dana asing, kata penganalisis.

Pada jam 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 3.68 mata kepada 1,619.08 daripada 1,615.40 semalam.

Indeks barometer dibuka rendah 0.59 mata kepada 1,614.81.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 274 berbanding 156, dengan 334 kaunter tidak berubah, 1,581 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 246.60 juta saham bernilai RM143.49 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong, Pak Leng berkata, FBM KLCI melepasi paras 1,610 dan percaya jualan di bursa tempatan pada minggu lepas adalah berlebihan.

"Kami menjangka belian akan didorong oleh pelabur asing, yang akan membolehkan indeks petunjuk pasaran melepasi fasa konsolidasinya baru-baru ini.

"Oleh itu, kami menjangka indeks akan berada antara 1,620-1,630 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Wall Street ditutup positif dalam sesi dagangan yang rendah berikutan peniaga menunggu data senarai gaji bagi Mei esok, yang jika lemah, boleh mendorong Rizab Persekutuan menurunkan kadar faedah.

"Sehubungan itu, Dow Jones Industrial Average naik 140 mata manakala Nasdaq menambah 28 mata berikutan hasil 10 tahun AS merosot kepada 4.33 peratus,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank menambah 2.0 sen kepada RM4.17, Tenaga Nasional meningkat 12.0 sen kepada RM13.10 dan IHH Healthcare naik 1.0 sen kepada RM6.20.

Sementara itu, Maybank merosot 6.0 sen kepada RM10.00 dan CIMB Group berkurangan 4.0 sen kepada RM6.95.

Daripada saham aktif, Dagang Nexchange naik 1.0 sen kepada 47 sen, Datasonic Group meningkat setengah sen kepada 51 sen, JCY International menambah 1.0 sen kepada 60.5 sen dan SNS Network Technology menokok 1.0 sen kepada 66.5 sen. IFCA MSC merosot 1.0 sen kepada 53.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 25.50 mata kepada 12,303.99, Indeks FBMT 100 naik 23.73 mata kepada 11,907.70, Indeks FBM Emas Shariah menambah 50.87 mata kepada 12,554.52, Indeks FBM 70 menokok 21.23 mata kepada 17,576.63 dan Indeks FBM ACE naik 12.91 mata kepada 5,436.95.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 48.73 mata kepada 7,227.73, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.51 mata kepada 197.40 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 30.23 mata kepada 17,693.65 dan Indeks Tenaga susut 0.09 mata kepada 966.76. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!