RM1.38 juta kompaun, RM101,000 denda ceroboh hutan dikutip di Kelantan
KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan mengutip RM1.38 juta kompaun dan RM101,000 denda daripada kes-kes pencerobohan hutan di negeri ini dalam tempoh empat tahun bermula 2020.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, dalam tempoh itu juga sejumlah 137 kes pencerobohan hutan direkodkan di negeri ini dengan 98 kes daripadanya selesai manakala bakinya masih dalam tindakan dan siasatan.
“Sebanyak 137 kes pencerobohan hutan dikesan antara tahun 2020 hingga 2023 dan hasil daripada penguatkuasaan yang ditingkatkan dari semasa ke semasa, trend kesalahan berkenaan menurun.
“Pada tahun 2020 sebanyak 47 kes dikesan manakala 35 kes pada 2021, 33 kes pada 2022 dan 22 kes pada 2023," katanya menjawab soalan Nik Bahrum Nik Abdullah (Pas- Chempaka) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Darulnaim di sini pada Rabu.
Mohd Nassuruddin berkata, terdapat pelbagai program untuk memulihkan kerosakan hutan yang terjejas akibat pencerobohan termasuk dilaksanakan oleh pihak Jabatan Perhutanan Kelantan.
“Jabatan Perhutanan Kelantan sudah melaksanakan pelbagai kaedah untuk memulihara kembali hutan-hutan di Kelantan.
“Antaranya dengan tanam semula pokok hutan seperti Program Eksploitasi seluas 30 hektar melalui peruntukan yang diperoleh daripada pihak Persekutuan,” katanya.
Beliau yang juga ADUN Meranti turut meminta pihak-pihak menyalurkan maklumat berkaitan kes pencerobohan hutan atau aktiviti sindiket jual tanah pembalakan untuk kerajaan tersebut mengambil tindakan undang-undang.
“Jika benar berlaku kesalahan-kesalahan berkaitan hutan itu, kita akan ambil tindakan,” ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!