[VIDEO] Pembantu penguasa kastam didakwa terima rasuah kes lori lolos pemeriksaan

A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Seorang pembantu penguasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas empat pertuduhan menerima suapan berjumlah RM3,200 sejak enam tahun lalu.

Tertuduh, Solehuddin Isa, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Bapa kepada enam anak itu yang bertugas sebagai Pembantu Penguasa Kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) didakwa menerima sejumlah wang bernilai antara RM300 hingga RM2,000 daripada seorang individu.

Wang tersebut didakwa diterima sebagai dorongan untuk tidak memeriksa lori-lori milik sebuah syarikat yang membawa keluar barang dari Kargo KLIA.

Solehuddin (dua dari kiri) ketika dibawake Mahkamah Sesyen Kuantan pada Rabu.
Solehuddin (dua dari kiri) ketika dibawake Mahkamah Sesyen Kuantan pada Rabu.

Solehuddin didakwa melakukan keempat pertuduhan itu di sebuah bank di Temerloh antara 31 Julai 2018 hingga 11 September 2022.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd Afifi Ali yang memohon agar tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Beliau juga meminta agar mahkamah membenarkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM Putrajaya setiap sebulan sekali dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Bagaimanapun peguam, Mohd Nazri Yahya dan Mohd Faiz Omar mewakili tertuduh memohon agar wang jaminan dikurangkan atas alasan sudah berumahtangga memiliki enam cahaya mata berusia 10 tahun hingga tiga bulan.

Selain itu, Mohd Nazri mencadangkan ajar mahkamah membenarkan ikat jamin RM3,000 untuk kesemua pertuduhan.

Mahkamah kemudian membenarkan Solehuddin dijamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM Putrajaya.

Tertuduh juga diarahkan supaya tidak mengacau ganggu saksi sehingga perbicaraan selesai.

Mahkamah menetapkan 19 Julai depan sebagai tarikh penyerahan dokumen dan urusan kes.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!