Mahkamah benarkan permohonan Najib masukkan 2 afidavit isu tahanan di rumah

Najib Razak
Najib Razak
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak, memasukkan dua afidavit menyokong untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 supaya menjalani tempoh pemenjaraan di rumah.

Dua afidavit itu ialah sokongan yang diikrarkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika Konvensyen 25 Tahun Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Shah Alam, April lalu.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Perdana Menteri itu berkata demikian selepas prosiding kes yang dijalankan secara tertutup di hadapan Hakim, Datuk Amarjeet Singh.

Susulan itu beliau berkata, afidavit itu akan menjadi fakta dan mahkamah akan memberi keputusan sama ada memberi kebenaran semakan kehakiman atau sebaliknya.

“Disebabkan terdapat banyak dokumen membabitkan afidavit, maka hujahan dibuat berhubung perkara terbabit.

“Hakim kemudiannya menangguhkan kes ke 3 Julai depan untuk keputusan (permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum),” katanya ketika sidang akhbar di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Rabu.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan beliau yang mewakili Jabatan Peguam Negara (AGC) ketika ditemui berkata, pihaknya membantah afidavit terbabit atas alasan ia difailkan pada saat terakhir iaitu pada Selasa.

“Bagaimanapun, afidavit itu dibenarkan mahkamah yang akan membuat keputusan kebenaran semakan kehakiman itu pada Julai ini,” katanya, ketika ditemui pemberita selepas prosiding yang dijalankan secara dalam kamar.

Artikel Berkaitan:

Najib, 71, memfailkan permohonan kebenaran untuk semakan berkenaan di Mahkamah Tinggi di sini pada 1 April, menerusi Tetuan Shafee & Co.

Najib selaku pemohon menamakan Menteri Dalam Negeri; Komisioner Jeneral Penjara; Peguam Negara; Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi); Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM, dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketujuh.

Dalam notis permohonan itu, bekas Ahli Parlimen Pekan itu memohon perintah mandamus mengarahkan sama ada semua responden atau salah seorang daripada mereka menjawab dan mengesahkan kewujudan dekri tambahan bertarikh 29 Januari.

Pemohon juga memohon perintah mandamus bahawa jika dekri tambahan itu wujud, semua atau satu daripada responden mesti menguatkuasakannya serta merta dengan memindahkannya dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur, untuk menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan di rumah.

Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Beliau kemudiannya memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!