[VIDEO] Kontena asal Israel cuba masuk Perlis diarah patah balik
PADANG BESAR - Sebuah lori kontena milik syarikat berpangkalan dari Israel yang membawa muatan dagangan ayam sejuk beku diarahkan berpatah balik oleh penguatkuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis pada Ahad.
Pengarah JKDM Perlis, Ismail Hashim berkata, kontena berkenaan didapati baharu tiba dari Thailand kira-kira jam 12.03 tengah hari pada hari tersebut.
Menurutnya, kehadiran lori kontena terbabit dikesan ketika ia memasuki terowong Mesin Pengimbas di Unit Dagangan Jalan Raya, Kompleks ICQS Padang Besar bagi melakukan pengikraran Borang K1 bertujuan melakukan pengimportan dagangan ke dalam negara Malaysia.
"Semasa proses imbasan imej, pengendali mesin pengimbas mendapati kontena yang digunakan adalah berasal dari Israel berdasarkan logo 'ZIM' yang tertera pada badan dinding luar kontena tersebut," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Menurutnya, kenderaan terbabit kemudiannya ditahan untuk mendapat pengesahan dan pemeriksaan lanjut.
"Hasil semakan bersama pihak agensi kerajaan yang terlibat memaklumkan bahawa kontena berlogo 'ZIM' adalah dilarang untuk memasuki Malaysia kerana dipercayai adalah milik syarikat berpangkalan dari Israel.
"Kenderaan terbabit diarahkan berpatah balik ke negara jiran pada hari yang sama," katanya.
Dalam pada itu Ismail berkata, orang ramai juga digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut," katanya.
"JKDM juga menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.
"Kami memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!