Dua aktivis MyCARE wakili Malaysia sertai misi pelayaran ke Eropah
SHAH ALAM - Dua aktivis Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE) mewakili Malaysia menerusi penyertaan mereka dalam satu lagi misi pelayaran 'Freedom Flotilla Coalition' (FFC) iaitu Handala, yang sedang berlayar di negara-negara Eropah untuk menyebarkan kesedaran dan meraih sokongan untuk rakyat Palestin.
Kedua-dua mereka, iaitu Mohd Isa Maaroff dan Ibrahim Adham A Khalil juga merupakan ahli misi bagi Misi Flotillah Ke Gaza 2024.
Menurut MyCARE, Handala akan melawat pelabuhan di Norway, Scotland, Ireland, Wales, United Kingdom, Jerman, Belanda, Denmark dan Sweden sebelum berlayar ke Gaza.
"Pelayaran Handala membawa tumpuan kesedaran kepada anak-anak Gaza, For The Children of Gaza.
"Para peserta telah berlepas dari Malaysia untuk menyertai pelayaran ini. Mohon doa dari rakyat Malaysia agar misi ini dipermudahkan,"menurut MyCARE menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Pertengahan April lalu, seramai 20 orang terdiri daripada doktor, aktivis dan pengamal media menyertai pelayaran misi bantuan kemanusiaan ke Gaza, FFC yang berlepas dari Istanbul, Turkiye.
Misi tersebut merupakan gerakan akar umbi dan multinasional untuk mencabar sekatan haram Israel ke atas wilayah Gaza.
Ia juga demi memberi kesedaran kepada masyarakat antarabangsa terhadap penindasan yang berlaku terhadap penduduk Gaza.
Bagaimanapun, misi tersebut terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak disebabkan tercetus kekacauan daripada rejim Israel yang terus-menerus mahu menghalang pergerakan kapal-kapal terlibat dalam misi itu.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!