KPDN rampas 80,000 liter diesel di Labuan
LABUAN - Kementerian Perdangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan merampas 80,000 liter diesel dianggarkan bernilai RM320,000 dalam serbuan di Jeti Jalan Merdeka, pada Selasa.
Pengarahnya, Junaidah Arbain berkata, dalam serbuan menerusi Ops Tiris pada jam 11 pagi itu, pasukan penguat kuasa KPDN menemukan minyak diesel yang disembunyikan di dalam empat tangki besar di atas sebuah kapal.
"Lelaki tempatan berusia 70 tahun dipercayai kru kapal berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Junaidah berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Seksyen 20 (1) akta sama kerana mengangkut barang kawalan tanpa kebenaran.
Beliau berkata, KPDN Labuan akan terus melakukan pemeriksaan dan pemantauan berterusan terhadap aktiviti membabitkan barangan kawalan agar tidak berlaku penyelewengan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti melanggar perundangan boleh menyalurkan aduan kepada pihak kementerian melalui WhatsApp 019-2794317/019-8488000, portal aduan e-aduan.kpdn.gov.my atau e-mel kepada e-aduan@kpdn.gov.my selain hadir ke mana-mana pejabat KPDN berdekatan. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!