Lebih RM7 bilion atasi banjir di Kelantan

Pembangunan PLSB Sungai Kelantan. Foto Bernama (Gambar kecil: Dr Izani)
Pembangunan PLSB Sungai Kelantan. Foto Bernama (Gambar kecil: Dr Izani)
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaksanakan Pelan Tindakan Jangka Panjang bernilai lebih RM7 bilion bagi mengatasi masalah banjir di Kelantan.

Exco Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr Izani Husin berkata, projek itu melibatkan dua lembangan sungai utama iaitu Sungai Kelantan dan Sungai Golok.

Katanya, pelaksanaan tersebut melibatkan komponen-komponen berskala besar yang akan menghasilkan impak menyeluruh dalam mengatasi masalah banjir di negeri ini.

“Penyelesaian banjir jangk panjang ini dianggarkan menelan belanja lebih RM5.36 bilion bagi projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan dan RM2.05 bilion bagi projek PLSB Sungai Golok.

“Melalui pelaksanaan secara keseluruhan ini kelak akan mampu melindungi sejumlah 215 kilometer (km) kawasan yang terlibat akibat banjir,” katanya pada Persidangan Kali Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 bagi Tahun 2024, di Kompleks Darulnaim, di sini, pada Rabu.

Persidangan Kali Kedua DUN Ke-15 bagi Tahun 2024.
Persidangan Kali Kedua DUN Ke-15 bagi Tahun 2024.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gual Periok, Kamaruzaman Mohamad (Pas).

Mengulas lanjut, Izani berkata, bagi PLSB Sungai Kelantan fasa satu sedang dilaksanakan dengan kos kontrak sebanyak RM699 juta melibatkan tiga komponen utama iaitu Rancangan Tebatan Banjir (RTB), Living River dan Saliran Mesra Alam.

Artikel Berkaitan:

“Bagi fasa dua iaitu RTB Kota Bharu pula melibatkan kos sebanyak RM1.06 bilion melibatkan pembinaan lencongan banjir melalui Sungai Lubok Mulong dan Sungai Seribong serta kerja-kerja pembaikan Sungai Kelantan dan benteng sepanjang 40km termasuk pengambilan balik tanah.

“Melalui fasa tiga, kos dianggarkan sebanyak RM3.6 bilion melibatkan pembinaan empangan Lebir,” katanya.

Beliau berkata, bagi pengurusan banjir lembangan PLSB Sungai Golok (Kesban) fasa satu sedang dilaksanakan dengan kos kontrak sebanyak RM656 juta melibatkan skop seperti pembinaan ban banjir, menaik taraf ban kanan iaitu 19.84km Sungai Lemal-Lanchang di Pasir Mas dan menaik taraf pintu air (outlet gate) di Kuala Jambu, Tumpat.

“Fasa dua PLSB Sungai Golok melibatkan peruntukan sebanyak RM879 juta dan fasa tiga pula berjumlah RM512.66 juta meliputi pembinaan ban banjir di Sungai Meranti, Pasir Mas dan kolam takungan banjir Rantau Panjang.

“Selainnya, JPS juga melaksanakan projek saliran untuk mengatasi banjir di Klinik Kesihatan dan Balai Bomba Ketereh, menaik taraf saliran hadapan Klinik Kok Lanas, Kampung Kota, belakang Istana Negeri Kubang Kerian, Baruh Kadok ke Pasar Batu 8 Jalan Kuala Krai dan Taman Wadi Iman di Kota Bharu,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!